Menteri kewangan dakwa BN ‘rompak’ duit GST


Melati A. Jalil

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendakwa kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) mencuri bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST).– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendakwa kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) “merompak” duit bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau berkata bayaran balik cukai itu tidak dimasukkan dalam akaun amanah.

Katanya lagi, ia adalah sebab mengapa ada syarikat perlu menunggu sehingga dua tahun untuk mendapat semula bayaran balik GST.

“Ini adalah rompakan yang serius, kerana wang yang sepatutnya dalam akaun amanah tidak ada. Bagaimanakah kerajaan membayar apabila wang itu tidak ada di dalam akaun amanah,” katanya pada sesi perbahasan usul Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata wang yang dibayar sebagai pendahuluan telah dimasukkan ke dalam dana disatukan dan digunakan oleh kerajaan terdahulu.

“Kerana ia dianggap sebagai pendapatan, ia digunakan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata butiran dakwaannya itu akan didedahkan esok semasa pembentangan RUU untuk menghapuskan GST.

“Anda perlu tahu akaun jika anda membaca akaun yang patut anda ketahui. Sebagai menteri, anda mempunyai tanggungjawab untuk meneliti akaun. Anda telah gagal melakukannya.

“Inilah tanggungjawab bersama kerajaan BN terdahulu. Pembayaran balik GST telah dirompak oleh kerajaan BN,” katanya kepada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang meminta bukti dakwaannya.

Pada 4 Ogos, Lim berkata syarikat terpaksa menunggu pembayaran balik GST kerana kementerian memerlukan masa tambahan untuk membersihkan kecaluruan yang ditinggalkan oleh kerajaan BN.– 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen