10 individu berkaitan 1MDB dilarang ke luar negara


The Malaysian Insight

PUTRAJAYA melarang sekurang-kurangnya 10 individu yang dikaitkan dengan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd daripada meninggalkan negara, lapor Star.

Sumber yang tidak dinamakan menyebut, individu yang disenarai hitam daripada membuat perjalanan sama ada terlibat secara langsung atau mempunyai pengetahuan tentang syarikat serta transaksi kewangan yang dijalankan.

Pihak berwajib berhasrat menyelesaikan kes secepat mungkin, lapor akhbar itu.

Antara mereka yang tersenarai adalah bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Ismee Ismail, bekas ahli lembaga pengarah 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar, bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara Mohd Irwan Serigar Abdullah, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan bekas pengarah urusan SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil.

Sumber itu bagaimanapun berkata, anak lelaki Najib, Ashman Razak dan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang dikaitkan dengan wang 1MDB yang hilang itu, tidak tersenarai.

Juga tiada dalam senarai larangan itu adalah bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, yang sedang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan membenarkan pelupusan 64 bidang tanah bernilai RM4.28 bilion. – 18 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen