Pemimpin Umno yakin boleh kutip RM500,000 wang jamin Najib


Melati A. Jalil

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata masih sempat untuk mencapai sasaran itu kerana beberapa individu secara peribadi mengunjungi rumah Najib untuk menyampaikan sumbangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2018.

MOHD Razlan Muhammad Rafii, yang memulakan dana bagi membantu membayar separuh daripada wang jaminan Rajib Razak, yakin sasaran RM500,000 akan dicapai esok.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Umno itu berkata masih sempat untuk mencapai sasaran itu kerana beberapa individu secara peribadi mengunjungi rumah Najib untuk menyampaikan sumbangan mereka kepada bekas perdana menteri itu.

“Walaupun kalau kita hanya berjaya pungut sekadar RM400,000, itu sudah cukup kerana baki selebihnya akan ditambah oleh anak-anak beliau.

“Dan saya dimaklumkan bahawa ada beberapa Bahagian telah menubuh dan menguruskan dana mereka sendiri, untuk mengumpul sumbangan dari ahli. Ada yang berjaya mengumpul kira-kira RM5,000 atau RM3,000, jadi InsyaAllah, kita boleh dapat tambahan RM150,000,” Razlan memberitahu The Malaysian Insight.

Wang jaminan Najib perlu dihantar ke mahkamah Putrajaya pada jam 3 petang esok.

Setakat 9.30 pagi tadi, dana yang dilancarkan oleh “Solidariti Bersama Datuk Najib” telah berjaya mengumpul sebanyak RM310,245.

Pada 4 Julai, Najib, 64, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mahkamah Tinggi telah menetapkan Najib diikat jamin pada RM1 juta dan membenarkan beliau membayar RM500,000 pada hari pertuduhan dan bakinya esok. Najib dijamin oleh anak-anaknya, Nooryana Najwa, 30, dan Norashman, 27.

Mahkamah juga mengarahkan Najib menyerahkan pasportnya.

Sementara itu, Razlan yang juga Ketua bahagian Umno Seputeh berkata dana itu turut mendapat sumbangan dari seluruh dunia.

“Ada yang menderma RM5 atau RM10 kerana mereka masih mengingati sumbangan Najib.

“Dan derma tidak hanya dari ahli-ahli Umno, malah saya juga menerima dari mereka yang duduk di Sweden, Kanada, Singapura dan Indonesia,” katanya sambil megesahkan yang akaun bank “rasmi” CIMB (8601952060) masih boleh diakses.

Menurut Razlan, kutipan akan diberi kepada Najib di rumahnya di Jalan Langgak Duta pada jam 10 pagi esok.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ia tidak terlibat dengan isu akaun bank untuk derma kepada Najib Razak yang didakwa dibekukan.

Timbalan Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki menasihatkan pihak terbabit merujuk kepada bank kerana isu akaun tersebut tiada kaitan dengan SPRM.

Beliau mengulas dakwaan ketua Wanita Umno Pekan, Zalmah Abdul Rahman bahawa akaun yang dibuka untuk mengutip derma bagi membantu membayar jaminan Najib telah digantung.

Di media sosial baru-baru ini, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa mengadu akaun banknya dan akaun bank anaknya yang berusia 10 bulan telah dibekukan.

Dalam satu tulisan di Facebook, Nooryana Najwa mendakwa, selepas menyelesaikan urusan ikat jamin ayahnya, pihak bank memaklumkan mereka mendapat arahan untuk membekukan dua akaun tersebut. 

Menurut Nooryana Najwa, akaun banknya sebelum ini digunakan untuk membayar yuran pengajiannya manakala akaun bank anaknya yang baru berumur 10 bulan itu hanya ada RM100, duit rayanya yang pertama.

Akaun bank adiknya, Norashman juga dibeku.

SPRM menafikan membeku akaun bank cucu Najib. – 8 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • usaha keras pemimpin2 UMNO telah menampakkan hasil. pasti jumlah kutipan sebanyak RM500k itu akan tercapai bagi membantu mantan perdana menteri untuk diikat jamin. apa-apa pun kita doakan yg baik2 kepada mereka.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Please raise more as his wife as his beloved wife needs too.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Eric Tan · Ulasan