SPRM kata tak terlibat beku akaun rayuan derma Najib


Muzliza Mustafa

Akaun yang dibuka untuk mengutip derma bagi membantu membayar jaminan Najib telah digantung.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tidak terlibat dengan isu akaun bank untuk derma kepada Najib Razak yang didakwa dibekukan, kata timbalan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Beliau juga menasihat pihak terbabit merujuk kepada bank kerana isu akaun tersebut tiada kaitan dengan SPRM.

“Sebenarnya saya tidak sepatutnya mengulas perkara ini kerana mereka (penyokong Najib) tidak menyalahkan kami (atas dakwaan membekukan akaun).

“Tetapi untuk menjelaskan keadaan, SPRM tidak membekukan akaun tersebut. Mereka sepatutnya bertanya kepada bank,” kata Azam lagi kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas dakwaan ketua Wanita Umno Pekan, Zalmah Abdul Rahman bahawa akaun yang dibuka untuk mengutip derma bagi membantu membayar jaminan Najib telah digantung.

“Kami hanya membuka satu akaun dan ianya di Bank Rakyat,” kata Zalmah seperti dipetik dalam laporan Malay Mail Online semalam.

Menurut Zalmah, beliau mengetahui mengenai penggantungan itu pada jam 7 pagi semalam.

Malay Mail Online menyebut, ia merupakan satu-satunya akaun digantung, daripada dua akaun yang dibuka untuk menerima derma bagi membantu bekas perdana menteri.

Satu lagi akaun, di bank CIMB bernombor 8601952060 bawah nama Kelab Belia Berkhidmat yang dibuka oleh timbalan ketua Umno Seputeh, Mohd Razlan Rafii masih boleh diakses.

Najib didakwa di mahkamah Rabu lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dibebaskan dari tahanan pada hari sama selepas anak-anaknya membayar separuh daripada jumlah jaminan RM1 juta, namun perlu membayar bakinya membayar bakinya menjelang Isnin depan.

Tabung untuk membayar jamiman tersebut berjaya mengutip sejumla RM310,245 setakat jam 9.30 pagi ini.

Menurut Mohd Razlan, sebanyak RM88,111 daripada jumlah itu merupakan kutipan tunai dan selebihnya dimasukkan ke akaun berkenaan.

Katanya dana berkenaan akan diserahkan kepada Najib pagi esok di kediamannya di Langgak Duta.– 8 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen