Najib cipta sejarah, bekas PM pertama didakwa di mahkamah


Sheridan Mahavera

Bekas perdana menteri Najib Razak menjadi pemimpin pertama di Asia Tenggara yang diheret ke mahkamah. – Gambar EPA, 4 Julai, 2018.

SEPANJANG kerjaya politik Najib Razak selama 42 tahun, banyak rekod “kali pertama” yang berjaya diciptanya.

Pada 1976, beliau melakar sejarah sebagai ahli politik termuda pada masa itu yang memenangi kerusi Parlimen pada usia 23 tahun.

Beliau adalah anak perdana menteri yang pertama menjadi perdana menteri. Beliau juga anak sulung ayahnya, Abdul Razak Hussein.

Beliau juga merupakan perdana menteri pertama kalah dalam pilihan raya, apabila Barisan Nasional (BN) yang diketuainya ditewaskan dengan begitu teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei.

Dan hari ini, Najib melakar sejarah lagi sebagai bekas perdana menteri pertama yang akan didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah.

Beliau juga akan menjadi bekas pegawai awam tertinggi yang pernah dituduh di mahkamah.

Kejatuhan beliau bermula selepas PRU14 apabila rakyat Malaysia memilih sebuah gabungan yang berkempen atas janji untuk memastikannya menerima balasan di atas segala dakwaan perbuatan dakwaan jenayah.

Tetapi jenayah yang didakwa dilakukan beliau didedahkan tiga tahun lalu apabila Wall Street Journal, sebuah akhbar harian perniagaan terkenal, menerbitkan kisah dana yang hilang daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimulakan dan diterajui oleh Najib.

Pendedahan Wall Street Journal mengenai bagaimana berbilion ringgit diambil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari 2010 hingga 2014, mencetuskan penyiasatan pelbagai agensi dan gerakan nasional untuk menggulingkan Najib.

Pendedahan itu menunjukkan dua aliran wang daripada wang dicuri masuk ke akaun peribadi Najib yang berjumlah AS$731 juta manakala satu lagi sebanyak RM42 juta.

Najib sehingga hari ini menafikan sebarang kesalahan dan menegaskan wang itu adalah derma.

Selepas penyiasatan awal 1MDB dihalang oleh anggota pentadbiran Najib, siasatan itu dihidupkan kembali oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu yang berkuasa selepas pilihan raya 9 Mei.

Kali ini, pendakwa nampaknya memfokuskan terlebih dahulu terhadap RM42 juta yang didakwa dicuri daripada SRC International, anak syarikat 1MBD, antara 2014 dan 2015.

Pada pukul 3 petang semalam, penyiasat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap Najib di rumahnya di Langgak Duta sebelum membawa beliau ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.

Kira-kira jam 8.40 malam, peguam Umno terkemuka Muhammad Shafee Abdullah dilihat memasuki bangunan SPRM. Shafee pernah mewakili Najib pada masa lalu dalam beberapa kes.

Hari ini, Najib akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menghadapi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Keganasan.

Dilaporkan beliau mungkin berdepan sebanyak 10 pertuduhan dan pendakwaan akan diketuai oleh peguam negara baharu Tommy Thomas.

Prosiding mahkamah dijangka bermula pada jam 8.30 pagi ini. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • TAHNIAH NAJIB RAZAK kerana bantu pecah rekod Malaysia.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Nordin KCD · Ulasan

  • biar mahkamah yang tentukan semuanya..jangan buat andaian dan kesimpulan sendiri..beri ruang kepada sprm untuk lakukan tugas mereka sebaik mungkin

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan