Mahkamah benarkan Najib diikat jamin RM1 juta


Kamles Kumar

Najib Razak diarahkan bayar ikat jamin RM1 juta hari ini sementara menunggu perbicaraan pecah amanah dan salah guna kuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Julai, 2018.

NAJIB Razak akan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dengan ikat jamin RM1 juta sementara menunggu perbicaraan ke atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah yang dihadapinya.

Hakim Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta selepas mendengar hujah pendakwa raya yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas dan peguam bela Najib diketuai Shafee Abdullah.

“Mahkamah berpandangan, pandangan yang adil dan saksama, bahawa jaminan dibenarkan sebanyak RM1 juta dan tertuduh harus menyerahkan kedua-dua pasport diplomatiknya,” kata Sofian.

Sofian memutuskan jaminan RM1 juta itu dibayar tunai separuh hari ini, dengan baki RM500,000 lagi dibayar sebelum Isnin, 9 Julai.

Dua anak bekas perdana menteri itu, Nooryana dan Norashman tampil sebagai penjamin.

Shafee memberitahu mahkamah anak guamnya akan menyerahkan dua pasportnya yang dimiliki sejak menjadi menteri.

“Beliau mempunyai dua pasport kerana beliau PM dan juga menteri. Kedua-duanya pasport diplomatik. Kebanyakan PM ada. Beliau akan serahkan kedua-duanya. Beliau cukup jujur untuk beritahu saya dan serahkannya kepada mahkamah,” katanya di mahkamah.

Beliau juga memohon perintah larangan bersuara sementara kepada media berkenaan Najib untuk membuat liputan penerbitan kenyataan atau hal berkaitan kes itu.

Hakim membenarkan perintah itu tetapi berkata Shafee perlu membuat permohonan secara rasmi dalam tempoh 14 hari.

Pendakwa Tommy Thomas, yang juga peguam negara membantah permohonan itu kerana ia tidak menepati Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan membantahnya. Seluruh dunia bercakap tentang kes ini dan akan mengulasnya, sementara rakyat Malaysia hanya diam.

“Mereka perlu buat permohonan rasmi dan kami akan mencabarnya,” katanya.

Hakim menetapkan pengurusan kes Najib pada 8 Ogos dan tarikh perbicaraan bermula tahun depan.

Tarikh perbicaraan yang dicadangkan ialah 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac, 2019 sebanyak 19 hari.

Thomas sebelum itu meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM4 juta tunai – masing-masing RM1 juta bagi setiap pertuduhan, mengambil kira jumlah yang disonglap iaitu RM42 juta.

Shafee yang mengetuai tujuh peguam bela bagaimanapun membantah. Katanya, jumlah RM4 juta itu keterlaluan dan seperti mahu menghukum anak guamnya.

“Jumlah ikat jamin yang munasabah sepatutnya menunjukkan ikat jamin bukan untuk menghukum.

“Ikat jamin adalah untuk menjamin kehadiran di mahkamah. Tidak pernah ada tanda-tanda anak guam saya mahu melarikan diri,” kata Shafee kepada hakim.

Hujah berbalas hujah antara dua peguam kanan itu berlarutan lebih 30 minit dengan kedua-duanya tidak berganjak daripada pendirian masing-masing.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan 12 pendakwa raya persekutuan dalam kes menentang Najib Razak. Beliau meminta ikat jamin RM4 juta tunai tetapi mahkamah hanya membenarkan RM1 juta sebagai ikat jamin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Julai, 2018.

Shafee berkata pihaknya memohon ikat jamin antara RM500,000 hingga RM800,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport tertuduh kepada mahkamah.

“(Najib) ada dua pasport kerana beliau (bekas) perdana menteri dan menteri. Kedua-duanya pasport diplomatik,” kata Shafee, sambil memberitahu mahkamah anak guamnya sedia menyerahkan pasport itu.

Bagaimanapun katanya, Najib wajar diberi kebenaran untuk mendapatkan pasport berkenaan sekiranya ada urusan perniagaan atau keagamaan.

Shafee juga menawarkan kediaman bekas perdana menteri itu di Taman Duta sebagai cagaran ikat jamin, kerana semua akaun banknya termasuk akaun milik isteri dan anak-anak telah dibekukan oleh pihak berkuasa.

Isteri tertuduh, Rosmah Mansor bagaimanapun tidak kelihatan hadir di mahkamah.

“Jumlah RM4 juta itu sudah munasabah,” jawab Tommy, membalas permintaan Shafee kepada mahkamah.

“Adakah rakan saya yang bijaksana ini mahu meremehkan pertuduhan RM42 juta yang seluruh dunia tahu. Ini memalukan negara.”

Tommy juga memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan dan mahkamah tidak harus disusahkan di kemudian hari sekiranya rumah yang hendak dijadikan cagaran itu terpaksa dijual.

“Kami tolak ganti hartanah. Ini tidak boleh diterima,” kata peguam negara yang mengetuai pasukan 12 pendakwa raya persekutuan itu.

Hakim Sofian kemudian meminta kedua-dua pihak menghentikan, dan selepas itu memutuskan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Najib sebelum itu mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya, dan minta dibicara.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa selaku PM dan MK melibatkan pinjaman RM4 bilion oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dengan mengambil RM42 juta bagi dirinya sendiri.

Beliau juga dituduh tiga dakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah menyeleweng wang masing-masing sebanyak RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pecah amanah melibat RM27 juta dan RM5 juta itu dilakukan antara tarikh 24 dan 29 Disember 2014, manakala pecah amanah RM10 juta itu dilakukan antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Jika sabit kesalahan untuk pertuduhan pecah amanah, Najib boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun tetapi tidak lebih dua puluh tahun, sebat serta denda untuk setiap kesalahan. Bagaimanapun, disebabkan Najib sudah berusia 64 tahun, beliau akan dikecualikan daripada hukuman sebat yang hanya dikenakan kepada pesalah bawah umur 50 tahun.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa pula, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan yang diterima. – 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • harap semua dapat diselesaikan secepat mungkin dan diadili seadilnya mengikut undang2 negara kita

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan