ANAK perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa mendakwa akaun bank miliknya dan anaknya dibekukan oleh pihak berkuasa tidak lama selepas beliau membayar ikat jamin untuk ayahnya semalam.
Dalam satu tulisan di Facebook, Nooryana mendakwa, selepas menyelesaikan urusan ikat jamin ayahnya, pihak bank memaklumkan mereka mendapat arahan untuk membekukan dua akaun tersebut. Malaysiakini melaporkan yang akaun peribadi anak lelaki Najib, Norashman juga dibekukan.
Semalam, Nooryana dan Norashman jadi penjamin kepada ayah mereka yang dihadapkan dengan empat pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.
Menurut Nooryana, akaun banknya sebelum ini digunakan untuk membayar yuran pengajiannya manakala akaun bank anaknya yang baru berumur 10 bulan itu hanya ada RM100, duit rayanya yang pertama.
“Adakah kerajaan sekarang terlalu berdendam sehingga hendak menghapuskan seluruh keluarga saya?
“Apa kena mengena duit raya anak saya dengan 1MDB?
“Adakah ini Malaysia baru yang rakyat harapkan?” tulisnya di Facebook.
Nooryana mendakwa beliau membayar duit jaminan itu dengan hasil sumbangan rakan-rakan dan sanak saudara.
Selasa lepas, Nooryana menyeru rakyat Malaysia meluangkan masa mengenang ayahnya yang ketika itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bermalam di ibu pejabat agensi anti rasuah itu.
Dalam satu kiriman mesej di Instagram, Nooryana berkata, Najib sepanjang masa selama 42 tahun jadi ahli politik sentiasa memikirkan tentang rakyat, dan ini masanya untuk rakyat pula memikirkan tentang beliau.
Minggu ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion sudah dibekukan bagi membantu siasatan berhubung skandal melibatkan penyelewengan daripada syarikat pelaburan negara itu.
408 akaun bank itu milik individu, parti politik dan pertubuhan yang dipercayai menerima wang terkait dengan 1MDB antara Mac 2011 hingga September 2015.
Tindakan pembekuan akaun bank 81 individu dan 55 syarikat itu dibuat antara 26 hingga 29 Jun lepas, kata pasukan petugas khas itu.
Dalam kenyataannya, pasukan itu tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang akan dibekukan.
“Kesemua akaun dibekukan mengikut peruntukan undang-undang negara ini sebagaimana lazimnya dilakukan.
“Oleh itu, tidak timbul isu tindakan membekukan akaun diambil untuk menganiaya mana-mana pihak,” kata pasukan petugas khas itu, dalam kenyataan medianya Isnin lepas.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan 1,000 nama termasuk ahli keluarga Najib disiasat berhubung kesalahan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.
Mereka termasuk ahli politik Barisan Nasional, pegawai kanan kerajaan, ahli perniagaan serta peguam yang disyaki menerima wang dari akaun peribadi Najib yang terlibat dengan dana 1MDB yang diselewengkan.
Najib semalam dituduh di mahkamah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sementara menunggu pengurusan kes yang ditetapkan pada 8 Ogos ini. Mahkamah Tinggi semalam turut menetapkan tarikh perbicaraan kes selama 19 hari bermula Februari tahun depan.– 5 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan