Najib Razak ditangkap (Kemas Kini)


Kamles Kumar

Kenderaan dipercayai membawa bekas perdana menteri Najib Razak dilihat meninggalkan kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 3 Julai, 2018

BEKAS perdana menteri Najib Razak ditangkap hari ini selepas lebih lima minggu siasatan terhadap beliau dan isterinya digiatkan semula melalui Pasukan Petugas Khas menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad.

Beliau ditahan di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 3 petang ini oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan kemudian mengesahkan tangkapan berkenaan yang dibuat berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

“Tangkapan tersebut telah dibuat di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, hari ini,” katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh empat pengerusi bersama pasukan petugas khas itu.

Pasukan itu dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dan bekas Pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador.

“Najib akan dituduh pada 4 Julai 2018 (esok) pada pukul 8.30 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur,” tambah kenyataan itu.

Najib ditahan selepas SPRM mengambil keterangan beberapa saksi penting termasuk isterinya Rosmah Mansor, anak tirinya Riza Aziz dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Siasatan ke atas Najib adalah berhubung dakwaan sejumlah wang dari SRC International yang masuk ke akaun peribadinya, yang dipercayai diselewengkan dari dana Kumpulan Wang Pencen (KWAP).

Polis turut merampas sejumlah harta dalam bentuk wang tunai, beg tangan mewah dan barang kemas  dari beberapa kediaman dikaitkan dengan ahli Parlimen Pekan itu, yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Beliau dan isterinya juga disekat daripada meninggalkan negara sejak kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pentadbiran negara, 55 hari lalu.

Siasatan berkenaan pernah terhenti selepas pentadbirannya campur tangan termasuk memecat Gani pada hujung Julai 2015. Gani ketika itu dilaporkan sedang menyiapkan kertas pertuduhan jenayah terhadap Najib.

Najib berkali-kali menafikan tuduhan tersebut.

Bekas presiden Umno itu sebelum ini memberikan keterangannya kepada SPRM dalam rentas dua hari pada 22 dan 24 Mei, membantu siasatan berhubung SRC International Sdn Bhd. 

Lebih kurang dua minggu berikutnya, isteri beliau Rosmah Mansor pula dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM.

Anak tirinya, Riza memberikan keterangan kepada SPRM awal petang tadi, lebih kurang sejam sebelum agensi anti rasuah itu menangkap Najib. 

Pada Januari 2016, peguam negara ketika itu, Apandi Ali membersihkan nama Najib dari sebarang kaitan dengan penyelewengan dana kerajaan, yang mencetuskan tekanan kepada bekas perdana menteri itu untuk letak jawatan.

Tindakan Apandi itu bagaimanapun dikecam oleh pengkritik yang menyifatkan usaha itu sebagai cubaan untuk menutup kes berkenaan.

Awal Jun lalu, Apandi yang bercuti tidak lama selepas kerajaan Pakatan Harapan menyingkirkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei, diganti oleh Tommy Thomas. – 3 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Gud job PDRM

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Azman Mat Jazik · Ulasan

  • New Chapter begin..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Qadaffy MT Aidala · Ulasan