Najib disoal siasat SPRM 7 jam


The Malaysian Insight

BEKAS Perdana Menteri Najib Razak hari ini disoal siasat selama hampir tujuh jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes SRC International dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Sesi soal siasat bermula pada pukul 10 pagi tadi dan berakhir pada 4.30 petang. Isnin lalu, Najib disoal siasat selama empat jam bagi membantu siasatan SPRM.

Bekas perdana menteri berusia 65 tahun itu keluar dari bilik soal siasat dan terus ke bilik bantuan pelanggan untuk berjumpa peguamnya sebelum meninggalkan bangunan SPRM.

“Saya telah pun memberi keterangan hari kedua kepada SPRM bermula dari pukul 10 pagi sampai pukul 4.30 petang. Masa untuk solat zohor dan berehat dalam 40 minit dan saya telah jawab semua soalan dengan sebaik-baiknya.

“SPRM telah melakukan kerjanya dengan professional. Dan mereka kata bahawa sesi keterangan telah pun selesai. Jadi itu sahaja,” kata Najib kepada media sebelum beredar menaiki Toyota Vellfire.

Najib disiasat atas dakwaan rasuah serta salah laku selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei.

Minggu lepas polis menggeledah enam premis yang dikaitkan dengan Najib dan merampas 284 kotak berisi beg tangan berjenama serta 72 beg berisi wang tunai dan barang kemas. Turut dirampas ialah dokumen yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1MDB. – 24 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen