SEJUMLAH 408 akaun bernilai RM1.1 bilion milik 81 individu dan 55 syarikat dibekukan oleh pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pasukan petugas khas 1MDB berkata akaun terbabit, yang turut dimiliki parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), dibeku antara 26 Jun dan 29 Jun.
“Akaun yang dibekukan turut membabitkan 81 individu serta 55 buah syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.
“Akaun-akaun tersebut dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB. Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.”
Pasukan petugas khas berkata ia tidak menolak kemungkinan akan ada lagi akaun yang akan dibekukan.
Katanya lagi, tindakan yang diambil bukan untuk menganiaya mana-mana pihak sebaliknya dibuat mengikut undang-undang negara.
Pasukan petugas khas siasatan 1MDB dipengerusikan bekas peguam negara Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamaed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Abdul Hamid Bador
Pada Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan pemerolehan aset, selain pendakwaan ke atas individu yang didakwa melakukan kesalahan jenayah berhubung 1MDB.
Pasukan petugas khas bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan pemerolehan aset yang dikaitkan dengan kehilangan dana 1MDB di dalam dan luar negara.
Pasukan itu setakat ini sudah bertemu dengan pegawai penyiasat dan rakan sejawat dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Singapura dan negara yang menjalankan siasatan ke atas 1MDB termasuk pihak berkuasa Switzerland.– 2 Julai, 2018.
Komen