Putrajaya pertimbang bangunkan platform media sosial untuk rakyat Malaysia, kata Fahmi


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Putrajaya sedang mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan aplikasi media sosial khusus untuk rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2024.

PUTRAJAYA sedang mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan aplikasi media sosial khusus untuk rakyat Malaysia, kata Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata langkah ini diambil kerana beberapa penyedia aplikasi media sosial meraih keuntungan daripada rakyat Malaysia tetapi gagal memastikan keselamatan pengguna.

“Tahun lalu dianggarkan Facebook sahaja memperoleh AS$600 juta dari Malaysia tetapi apa yang mereka lakukan untuk memastikan keadaan dan penggunaan platform mereka di Malaysia selamat?

“Mereka kurang komitmen, jadi kita perlu mengkaji dan menilai keadaan. Tidak mudah untuk membangunkan platform media sosial sendiri, tetapi beberapa negara mencubanya. Kami akan mempertimbangkannya,” katanya kepada wartawan di perhimpunan ‘Himpunan Pembebasan Palestin’ malam tadi.

Fahmi juga berkata beliau bertemu dengan pengacara selebriti Aznil Nawawi yang mencadangkan idea ini susulan tindakan terbaru Meta Platforms Inc. (Meta) yang memadamkan hantaran media sosial berkaitan Palestin.

Minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri meluahkan rasa tidak puas hati apabila Facebook memadamkan hantaran yang memaparkan pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Qatar pada Mei lalu.

Putrajaya juga berkata platform media sosial akan diwajibkan memiliki lesen mulai tahun depan, menggunakan syarikat yang diperbadankan di tempatan, di bawah garis panduan kerajaan baru yang bertujuan untuk menangani penipuan dan buli siber. – 5 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen