Perhimpunan solidariti untuk Palestin diadakan Ahad ini, kata Fahmi


Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil beerkata satu perhimpunan solidariti untuk Palestin akan diadakan Ahad ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 8 malam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2024.

JABATAN Kabinet memutuskan untuk mengadakan perhimpunan solidariti pada Ahad ini untuk Palestin sebagai isyarat jelas tentang pendirian Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata perhimpunan itu akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada jam 8 malam.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata semua orang dijemput untuk menghadiri perhimpunan tersebut yang akan memberikan platform kepada semua untuk menyatakan sokongan mereka terhadap Palestin.

“Kami berharap ini akan memberikan isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa pendirian rakyat Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin kekal tidak berubah.

“Kami akan terus berdiri dalam solidariti bersama rakyat Palestin,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan lain juga dijangka akan hadir.

Semalam Anwar berkata bahawa pembunuhan Ismail Haniyeh yang merupakan ketua sayap politik Hamas adalah tindakan kejam.

“Saya mengutuk pembunuhan ini dengan sekeras-kerasnya. Pembunuhan ini dirancang untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung yang bertujuan untuk menghentikan pembunuhan di Gaza yang meragut lebih daripada 40,000 nyawa.

“Ini hanya boleh dilakukan dalam suasana kekebalan yang mutlak,” katanya.

Anwar berkata hanya mereka yang tidak peduli dan tidak berhati nurani sahaja yang tidak akan melihat keperluan untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel agar menghentikan keganasan mereka. – 1 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen