PEMBATALAN permit seorang pelawak Singapura membuat persembahan di Malaysia dibuat selepas mempertimbangkan laporan polis berhubung video lama yang didakwa menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) menerima maklumat daripada polis bahawa beberapa laporan telah dibuat berhubung video Sharul Channa yang dimuat naik semula baru-baru ini.
“Saya difahamkan video yang dimuat naik untuk mempromosikan persembahan itu dimuat naik baru-baru ini, dan akibatnya, beberapa laporan polis telah dibuat, dan laporan itu menunjukkan ia berkaitan dengan isu 3R.
“Itu mungkin video lama, tetapi laporan polis berkenaan isu 3R.
“Jadi Puspal telah menerima maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan senario itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Pada Sabtu, Sharul meluahkan kekecewaannya dalam video yang disiarkan di Facebook selepas permitnya untuk rancangan komedi “Just Joking” di Petaling Jaya Live Arts Centre dibatalkan oleh Puspal dua hari sebelum acara itu.
Fahmi berkata tindakan Puspal itu juga sebagai peringatan kepada artis dalam dan luar negara supaya tidak menyentuh isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Di Malaysia, jika kita menyentuh isu 3R, pihak berkuasa akan bertindak, dan itu adalah peringatan yang saya berikan kepada pengguna media sosial dan artis. Isu ini terletak dalam bidang kuasa polis untuk menyiasat,” katanya. – 21 Mei, 2024.
Komen