ORANG ramai digesa berhati-hati dengan taktik penipuan membabitkan penyebaran video dan imej palsu atau deepfake yang dicipta menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Bercakap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, beliau berkata walaupun penggunaan AI sememangnya membantu pembangunan negara, ada pihak yang menyalahgunakan teknologi itu.
“Siti Nurhaliza dalam catatan Instagram beberapa hari lalu menunjukkan panggilan video WhatsApp yang seolah-olah sedang bercakap, sedangkan ia sebenarnya adalah deepfake langsung.
“AI boleh digunakan untuk kebaikan dan kejahatan. Kita perlu berhati-hati dengan maklumat yang diterima dan memastikan sebarang video yang diterima adalah tulen atau dihasilkan melalui aplikasi AI,” katanya, memetik laporan Bernama.
Sehubungan itu, Fahmi turut menyeru Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menghebahkan dan mendidik orang ramai tentang bahaya taktik penipuan menggunakan AI deepfakes.
Semalam, penyanyi nombor satu negara itu dilaporkan mendedahkan taktik terbaharu yang digunakan oleh penipu yang dipercayai menggunakan teknologi AI untuk meniru suara dan wajahnya bagi mengaut keuntungan. – 15 Julai, 2024.
Komen