Fahmi akan bincang dengan Nga 'duta online'


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan kabinetnya Nga Kor Ming mengenai pelantikan 200 "duta online".– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2024.

MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan kabinetnya Nga Kor Ming mengenai pelantikan 200 “duta online” untuk menyebarkan maklumat dan memerangi berita palsu dalam talian.

Fahmi berkata beliau berfikiran terbuka mengenai inisiatif yang diumumkan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu minggu lalu.

“Saya belum berkesempatan mendapat taklimat penuh daripada KPKT mengenai usaha itu. 

“Namun saya tidak lihat semestinya mereka akan masuk dalam bidang pihak lain.

“Semestinya kita inginkan penyelarasan dari segi maklumat yang disampaikan. Insya Allah saya akan meneliti perkara ini bersama menteri KPKT,” katanya kepada pemberita selepas satu program di kawasan Lembah Pantai, lapor Free Malaysia Today.

Inisiatif itu mendapat kritikan kerana pelantikan baharu itu bertindih dengan saluran kerajaan lain untuk tujuan yang sama.

Pengkritik seperti bekas ketua pengarah jabatan hal ehwal khas (Jasa) yang kini tidak berfungsi lagi Puad Zarkashi berkata kerajaan sudah mempunyai entiti seperti jabatan komunikasi masyarakat (J-Kom) dan Komuniti Madani, yang kedua-duanya berada di bawah kementerian komunikasi.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin juga mengulas mengenai pelantikan “duta dalam talian”, menyebutnya “membazir dan tidak beretika”. – 17 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen