Biden tarik diri dari pilihan raya presiden AS


Joe Biden menarik diri daripada pilihan raya presiden AS dan menyokong Naib Presiden Kamala Harris untuk menggantikan beliau sebagai calon Parti Demokrat. – Gambar media sosial, 22 Julai 2024.

PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden menarik diri daripada pilihan raya presiden AS dan menyokong Naib Presiden Kamala Harris untuk menggantikan beliau sebagai calon Parti Demokrat.

Presiden berusia 81 tahun itu semalam berkata ia satu penghormatan terbesar dalam hidupnya untuk berkhidmat sebagai presiden.

“Adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai presiden anda.

“Walaupun saya berniat untuk bertanding semula, saya percaya adalah demi kepentingan parti dan negara untuk saya mengundurkan diri serta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Presiden bagi baki penggal saya,” kata Biden dalam satu kenyataan di platform X.

Pengumuman itu dibuat hanya empat bulan sebelum beliau sepatutnya berdepan bekas presiden Donald Trump dalam perlawanan ulangan pilihan raya sebelum ini.

Ini menandakan satu tempoh yang bergelora dalam politik Amerika Syarikat yang bermula dengan persembahan debatnya yang kadang-kadang tidak konsisten dengan Trump pada 27 Jun.

Biden berkata beliau akan terus menjadi presiden sehingga Januari.

Selepas pengumuman pada malam Ahad, Biden memberikan sokongannya dalam pilihan raya presiden kepada naib presiden Harris.

Beliau menggesa pengundi untuk bersatu di belakang Harris dan mengalahkan Trump dalam pilihan raya.

“Rakan-rakan Demokrat, saya memutuskan untuk tidak menerima pencalonan dan untuk menumpukan segala tenaga saya pada tugas-tugas saya sebagai Presiden sehingga tamat tempoh saya. Keputusan pertama saya sebagai calon parti pada tahun 2020 adalah memilih Kamala Harris sebagai Naib Presiden saya. Dan ia adalah yang terbaik,” katanya pada X. – 22 Julai 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen