Siasatan terhadap MB Perlis tak jejas kempen Perikatan, kata Azmin


Pengerusi Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali tidak adil untuk menghukum mana-mana individu dengan dakwaan berbaur fitnah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2024.

SIASATAN Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkait kes salah guna kuasa membabitkan anaknya lelakinya tidak akan menjejaskan kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, kata Mohamed Azmin Ali.

“Tidak beri kesan. Kita terus berkempen dan kita memberikan penjelasan,” kata pengerusi PN itu kepada media selepas Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Bharu malam tadi.

Beliau dalam pada itu berkata tidak adil untuk menghukum mana-mana individu dengan dakwaan berbaur fitnah.

“Ketika ini kita dimaklumkan hanya siasatan. Tidak adil untuk menghukum mana-mana individu dengan hukuman yang berbaur fitnah seperti tajuk dalam banyak laporan media yang mengatakan MB Perlis ditahan. 

“Itu tidak adil, beliau hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan beliau mengambil tanggungjawab untuk bekerjasama dengan penyiasatan bagi memberikan keterangan,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh mengenai isu kelayakan calon PN Khairul Azhari Saut yang dibangkitakan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tahu ini semua fitnah PH untuk mengalihkan pandangan kepada isu sebenar dan terbukti apabila universiti (UMPSA) sendiri keluarkan kenyataan mengesahkan sijil kelayakan pendidikan Khairul.

“Itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada PH supaya tak bawa fitnah di kempen PRK kerana rakyat sudah penat dengan pemain-pemain politik,” katanya.

PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat kanser. Mendiang Lee, 58, berkhidmat selama tiga penggal di kerusi DUN itu sejak 2013.

Pilihan raya itu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, PH, Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas.

Semalam, Mohd Shukri dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas hampir lapan jam memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan nanti. – 1 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen