SPRM sahkan panggil Mirzan


SPRM mengesahkan Mirzan Mahathir disiasat berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama dan diarah isytihar semua aset. – Gambar Facebook, 18 Januari, 2024.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan anak sulung bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dipanggil semalam bagi membantu siasatan berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mirzan hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, kata agensi antirasuah itu dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM berkata notis tersebut mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan GLC.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kenyataan itu dipetik.

Menurut SPRM lagi, siasatan bermula sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Sehingga kini seramai 10 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, tambahnya.

“SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan.” – 18 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen