Siasatan terhadap Daim tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman, kata AGC


Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mendakwa Kertas Pandora tidak membuktikan sebarang kesalahan dilakukan oleh beliau dan keluarganya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Daim Zainuddin dan keluarganya tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah jika mahkamah membenarkan permohonan itu, ia akan membuka laluan kepada tindakan undang-undang bagi mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian yang boleh membawa kepada kekacauan dan rusuhan.

“Kuasa penyiasatan tidak boleh dicabar dan jika semakan kehakiman itu dibenarkan, ia akan menghalang proses siasatan. Bagi setiap siasatan, permohonan semakan akan difailkan justeru penyiasatan tidak akan selesai.

“Kami berhujah bahawa kuasa penyiasatan tidak boleh disemak semula oleh mahkamah ini,” katanya di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Daim dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap siasatan SPRM.

Daim, 85, isterinya Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, serta Muhammed Amin Zainuddin, 25, bersama-sama Ilham Tower Sdn Bhd telah memfailkan permohonan itu pada 10 Januari lepas dan menamakan SPRM serta pendakwa raya sebagai responden.

Pada prosiding hari ini, Shamsul berhujah bahawa kuasa SPRM untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah antara mekanisme bagi siasatan yang diperuntuk dalam Bahagian VI Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Agensi penguatkuasa undang-undang diberikan kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk membekukan aset seseorang apabila memenuhi beberapa syarat,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran perintah itu hanya dibuat apabila agensi penguatkuasa telah memulakan siasatan terhadap individu terbabit dan terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki sama ada individu itu telah melakukan atau akan melakukan kesalahan pembiayaan keganasan, atau aset tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram. 

Peguam Tommy Thomas pula berhujah sehingga hari ini, Daim dan keluarganya tidak pernah dimaklumkan mengenai fakta berkaitan dakwaan terhadap mereka.

“SPRM hanya merakam keterangan Daim setahun setengah selepas Kertas Pandora dikeluarkan. Hanya pada Jun 2023, hampir dua tahun selepas itu, SPRM mula mempergiat tindakan terhadap Daim dan membekukan aset keluarganya,” kata beliau.

Thomas juga berkata SPRM secara tidak sah telah membekukan akaun anak guamnya sejak 7 Jun 2023, menyerbu dan menyita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat pada 18 Disember 2023, menggeledah kediaman Daim sebelum ini serta menyita 11 kenderaan pada 3 Januari lepas.

Beliau juga berkata Daim akan diprejudis jika beliau didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

“Anak guam saya kini berusia 85 tahun dan mengharapkan beliau mengingati perkara yang berlaku 26 tahun lepas adalah sesuatu yang tidak adil,” katanya.

Hakim Wan Ahmad Farid menetapkan 4 Mac sebagai keputusan.

Menerusi permohonan itu, mereka mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu kertas siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim mendakwa Kertas Pandora adalah fail sulit yang bocor pada 2021, mendedahkan nama-nama pemilik syarikat pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak membuktikan sebarang kesalahan dilakukan oleh beliau dan keluarganya.

Justeru, antara lain Daim dan ahli keluarganya memohon mahkamah memerintahkan SPRM dan para pegawainya agar membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap mereka dari Februari 2023 hingga kini selain notis yang dikeluarkan oleh agensi antirasuah itu. – Bernama, 16 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen