CEO KFA dilepaskan dengan jaminan SPRM


Zulkifli dilepaskan kira-kira pukul 10 pagi semalam setelah selesai memberi keterangan bersama tiga individu lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) persatuan itu Zulkifli Che Haron yang di reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam KFA Ibrahim Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan Zulkifli dilepaskan kira-kira pukul 10 pagi semalam setelah selesai memberi keterangan bersama tiga individu yang lain.

“KFA menerima makluman Zulkifli dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM pada Khamis, sebelum dimaklumkan mengenai tangkapan dan proses reman yang akan dibuat terhadap Zulkifli pada pagi Jumaat.

“KFA berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan menghentikan segala tuduhan yang tidak berasas, kerana kes ini masih di peringkat awal siasatan. Persatuan menafikan semua bentuk keterlibatan rasuah dan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata pelantikan CEO adalah bagi melancarkan pentadbiran dan fungsi sekretariat di bawah Setiausaha Kehormat menurut Statut Persatuan KFA dan ingin menjelaskan persatuan tiada kaitan dengan mana-mana projek kerajaan negeri.

Beliau berkata menurut statut persatuan kesemua keputusan persatuan perlu diputuskan di bawah Jawatankuasa Eksekutif (Exco KFA) dan CEO hanya menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran persatuan.

“Sepanjang penubuhan persatuan, pendapatan utama ialah dari sumbangan syarikat dan badan-badan korporat dan segala penerimaan wang direkodkan dalam Laporan Kewangan persatuan dan sudah dibentangkan. Sumbangan diterima tanpa imbalan dan tanpa prasangka.

“Sebagai rekod, CEO KFA dilantik pada Ogos 2020 dan berusaha dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji dan tuntutan hutang daripada badan berkanun semenjak pentadbiran persatuan bertukar kepimpinan,” katanya.

Ibrahim berkata hasil pelantikan itu berjaya merekodkan kejayaan proses pemisahan pasukan bola sepak FA kepada FC selain kejayaan memiliki pejabat pentadbiran sendiri pada 2023.

Jumaat lalu, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman selama tiga hari terhadap empat individu, termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah persatuan bola sepak sebuah negeri di utara tanah air bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM6 juta pada 2020.

Menurut sumber, wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah. – Bernama, 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen