SPRM, polis tapis lantikan pengerusi, ahli lembaga pengarah badan berkanun


Pejabat Perdana Menteri berkata proses pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah Badan Berkanun Persekutuan wajib melalui semakan SPRM, PDRM dan abatan Insolvensi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

PROSES pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) selepas ini akan diperkukuhkan lagi berdasarkan kriteria yang telus serta wajib melalui proses penilaian wajar menerusi semakan keutuhan beberapa badan penguat kuasa negara. 

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan ia termasuk semakan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu merupakan antara garis panduan baharu bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998, yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang bersidang hari ini.

Garis panduan berkenaan yang menyaksikan pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola juga antara lain memberi penekanan kepada program pembangunan kapasiti ahli lembaga pengarah BBP.

Antara lain memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada perdana menteri.

“Badan berkanun merupakan satu daripada cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola yang baik. Sumbangan badan berkanun sebagai badan awam bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi ia juga menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain,” menurut Pejabat Perdana Menteri.

Mesyuarat JKKTN berkenaan membincangkan langkah pemantapan tatakelola BBP melalui pengukuhan pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan BBP.

Garis panduan lain juga termasuk memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).

Garis panduan berkenaan juga mengandungi usaha memperkasa peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat BBP termasuk syarikat dan perbadanan BBP.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan garis panduan ini bagi mendukung agenda Madani melalui pemerkasaan BBP, yang merupakan satu cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola baik.

“Melalui Pantau Madani, pemantauan BBP akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu, JPM),” menurut kenyataan itu. 

Selaras dengan prinsip ketelusan, kenyataan itu juga menyatakan JKKTN turut membincangkan mengenai format baharu pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan semula dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan itu, kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tatakelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – Bernama, 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen