Kes ceroboh rumah MB Selangor: Polis sahkan terima laporan penafian 3 individu 


POLIS mengesahkan menerima laporan berbentuk penafian membabitkan tiga individu yang didakwa menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di Shah Alam pada Jumaat lepas.

“Kita telah lengkapkan kertas siasatan dan edar kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut pada petang ini,” menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata tiga pengamal media direman dua hari bermula 6 Januari lepas bagi membantu siasatan berikutan insiden itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohamad Suffi Kamari, 35, menafikan menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor sebaliknya mendakwa beliau menerima jemputan sebagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu penduduk Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur. 

Suffi berkata beliau bersama dua rakannya diminta oleh wakil Jawatankuasa Gerakan Pertubuhan Ummah untuk menghadiri pertemuan dengan Amirudin Shari pada hari kejadian.  

Beliau berkata pemakluman mengenai kehadiran mereka juga dibuat kepada pegawai bertugas di pintu pagar masuk kediaman rasmi itu. 

“Selepas dibenarkan masuk, saya juga sempat berada bersama menteri besar dan penduduk Kampung Sungai Sireh… saya juga bersalaman dengan menteri besar Selangor yang sedang mengetuai mesyuarat tersebut.

“Tiada sebarang provokasi sepanjang pertemuan tersebut… di tengah mesyuarat, saya dipanggil keluar oleh pegawai menteri besar Selangor yang kemudian menuduh saya menceroboh kediaman itu sebelum kami ditangkap,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Shah Alam, hari ini. 

Ketua Pegawai Operasi Harakah Nadzir Helmi pula berkata laporan yang dibuat oleh tiga petugasnya itu adalah bagi mempertahan kebenaran. – Bernama, 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen