Perikatan ketepikan kontroversi kelayakan akademik calon KKB


Nama Khairul Azhari Saut mendapat perhatian di media sosial selepas ramai yang mempersoalkan bagaimana pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu boleh memiliki ijazah Sarjana walaupun kelayakannya sebelum ini adalah diploma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2024.

PERIKATAN Nasional (PN) mengetepikan kontroversi yang timbul berhubung kelayakan akademik calon Kuala Kubu Baharu selepas pengkritik mendakwa Khairul Azhari Saut menyalahgambarkan dirinya mempunyai ijazah sarjana.

Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali berkata kelayakan Khairul disaring dengan teliti dan beliau adalah calon yang tepat untuk parti itu.

Beliau berkata parti itu berpuas hati dengan prestasi, rekod dan kelayakannya untuk dipersembahkan kepada rakyat di Kuala Kubu Baharu.

“Buktinya (kelayakan akademik) ada. Dia tidak salah nyatakan dirinya dan tidak mendakwa memperoleh ijazah sarjana daripada mana-mana kursus tertentu.

“Beliau mengesahkan menjalani kursus eksekutif intensif yang banyak ditawarkan oleh banyak universiti.

“Saya fikir itu adalah perkara yang baik kerana kami sentiasa menggalakkan pembelajaran berterusan, walaupun bagi mereka yang mungkin terlepas pendidikan universiti pada mulanya tetapi mengambil kursus eksekutif dan intensif adalah amalan biasa di seluruh universiti,” kata Azmin dipetik oleh The New Straits Times selepas ceramah malam tadi.

Azmin berkata isu itu tidak harus dipolitikkan dan sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan.

Nama Khairul Azhari mendapat perhatian di media sosial selepas ramai yang mempersoalkan bagaimana pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu boleh memiliki ijazah Sarjana walaupun kelayakannya sebelum ini adalah diploma.

Dalam biodata Khairul Azhari, dinyatakan pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu memiliki diploma dalam pengurusan eksekutif dari Universiti Malaya (UM) pada 2019 diikuti oleh ijazah Sarjana dalam pengurusan perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang (Unimap)pada 2021.

Sementara itu Ketika ceramah berlangsung Khairul turut mengupas kontroversi latar belakang pendidikannya.

Beliau menepis serangan peribadi di media social dengan menyifatkan ia hanyalah ‘ujian’ menjelang pilihan raya kecil.

“Hari ini saya diserang secara peribadi berhubung kelayakan akademik saya. Saya tidak kisah kerana saya tidak menipu dan sijil yang saya serahkan bukan dari Sri Lanka ke Vietnam.

“Sijil yang saya perolehi dari Malaysia sendiri, dari Universiti Malaysia Pahang, mereka boleh hubungi universiti untuk pengesahan (ijazah sarjana).

“Apa yang saya hadapi sekarang ini hanyalah ujian buat saya, jadi kita tidak boleh salahkan mereka menguji saya sebelum pilihan raya ini, macam-macam halangan akan berlaku,” katanya kepada hadirin.

PRK Kuala Kubu Baharu yang dijadualkan pada 11 Mei ini akan menyaksikan pertandingan antara empat calon.

Mereka ialah Pang Sock Tao dari PH, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (PRM) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

PRK itu diadakan susulan kematian Adun tiga penggal kawasan itu daripada DAP, Lee Kee Hiong. – 28 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen