Perikatan harap sokongan pengundi MIC, MCA di Kuala Kubu Bharu


MIC dan MCA baru-baru ini umum untuk tidak berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya calon BN tidak dicalonkan untuk bertanding di kerusi itu pada 11 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2024.

PERIKATAN berharap penyokong MCA dan MIC menyokong calon gabungan itu selepas dua parti tersebut memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.

“Kami harap pengundi setia MCA dan MIC akan alih sokongan mereka kepada PN.

“Kami hargai kejujuran MIC dan MCA,” kata Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin dipetik New Straits Times hari ini.

Beliau mengulas pengumuman MIC dan MCA baru-baru ini untuk tidak turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu sekiranya calon BN tidak dicalonkan untuk bertanding di kerusi itu pada 11 Mei ini. Dua parti berkenaan merupakan parti komponen BN.

DAP dari gabungan Pakatan Harapan (PH) akan bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Semalam, Gerakan yang juga parti komponen PN memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya negeri Ogos tahun lalu. Bersatu yang juga sekutu Gerakan dalam PN juga telah menyatakan minat untuk bertanding.

PN dijangka akan umum calon gabungan itu esok.

Mengulas lanjut mengenai PRK Kuala Kubu Baharu, Afif dipetik NST sebagai berkata PN berharap ia akan meraih lebih banyak undi daripada masyarakat Cina dan India bagi menambah sokongan daripada orang Melayu terhadap gabungan itu.

Tambah beliau, keputusan MIC dan MCA untuk tidak turun berkempen sekiranya calon PH diletakkan di situ adalah satu kelebihan kepada PN kerana ia menunjukkan tiada perpaduan antara parti-parti dalam kerajaan.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dilapor media berkata parti komponen BN perlu membantu sesiapa sahaja calon yang akan bertanding mewakili kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Sementara itu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menerusi catatan di platfrom X berkata keputusan MCA dan MIC untuk tidak mahu terlibat dalam PRK Kuala Kubu Bharu adalah satu kesilapan.

Katanya, kedua-dua parti komponen BN itu sepatutnya dapat memberi perubahan dalam politik ketika terdapat isu antara kaum di Malaysia.

“Sayang sekali MCA dan MIC memutuskan untuk tidak mengambil bahagian di Kuala Kubu Bharu.

“Negara memerlukan suara baru BN tetapi pemimpin MCA dan MIC tidak melihat keperluan untuk mengisi kekosongan dalam politik negara,” kata Zaid. – 21 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen