Pemuda PKR mahu isu kalimah Allah disiasat secara adil


Pengarah Komunikasi AMK PKR Haziq Azfar Ishak berkata siasatan mesti dijalankan secara adil dalam isu kalimah 'Allah' pada kasut. – Gambar Facebook, 9 April, 2024.

PIHAK berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang mendakwa kasut keluaran sebuah syarikat tempatan mempunyai logo mirip kalimah “Allah” jika bukan itu yang sebenarnya berlaku, kata sayap Pemuda PKR hari ini.

Pengarah komunikasinya Haziq Azfar Ishak berkata siasatan mesti dijalankan secara adil membabitkan syarikat serta individu yang menimbulkan dakwaan itu.

“Walaupun kita tidak seharusnya memperkecilkan sebarang usaha untuk mempertahankan kesucian Islam, namun usaha sebegini harus benar-benar sah dan bukan dilakukan secara sambil lewa sehingga menganiaya orang lain.

“Jika siasatan lanjut pihak berkuasa seperti polis dan Jakim mendapati tiada asas kukuh bagi dakwaan seperti itu, maka individu yang memulakan ia harus berdepan akibatnya, terutama apabila menyebarkan berita palsu secara sambil sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Haziq menambah fabrik sosial negara berada pada tahap yang membimbangkan dengan orang ramai memainkan isu sedemikian.

Syarikat kasut tempatan Vern’s Holding Sdn Bhd sedang disiasat selepas dakwaan dibuat di media sosial yang reka bentuk kasut tumit tinggi wanita daripada syarikat itu mempunyai logo menyerupai kalimah “Allah”.

Syarikat itu menjelaskan logo itu adalah grafik yang digayakan.

Semalam, pengasas syarikat itu Ng Chuan Hoo, 51, mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan memberi jaminan kerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan terhadap logo kasut yang menjadi pertikaian itu.

“Biar Jakim dan polis melakukan apa yang perlu dilakukan berhubung siasatan mereka.

“Selepas siasatan mereka, saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan tindakan seterusnya,” kata Ng.

Beliau sepatutnya memberikan keterangannya kepada polis semalam.

Beliau berkata isu logo itu adalah salah faham dan memohon maaf kerana menimbulkan rasa kurang senang dan sakit hati kepada masyarakat Islam.

Beliau menambah kasut tertentu ditarik balik penjualannya di kedai dan dalam talian.

Reka bentuk kasut tumit tinggi wanita daripada syarikat itu menimbulkan kontroversi berhubung logo yang dikatakan oleh sesetengah orang menyerupai kalimah Allah.

Semalam, polis merampas sejumlah 1,145 pasang kasut di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah. Tiada tangkapan dibuat. – 9 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen