Pengasas syarikat kasut bertemu Jakim


Reka bentuk kasut tumit tinggi wanita daripada syarikat itu telah menimbulkan kontroversi berhubung logo yang dikatakan oleh sesetengah orang menyerupai kalimah Allah.– Gambar Facebook, 8 April, 2024.

PENGASAS syarikat kasut Vern’s Holding Sdn Bhd berkata beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini, dan memberi jaminan kerjasama penuh penyiasatan terhadap logo yang dipertikaikan pada kasut.

Ng Chuan Hoo, 51, berkata dalam pertemuan itu, pegawai Jakim menawarkan beberapa panduan kepadanya berhubung perkara itu.

Reka bentuk kasut tumit tinggi wanita daripada syarikat itu telah menimbulkan kontroversi berhubung logo yang dikatakan oleh sesetengah orang menyerupai kalimah Allah.

Vern’s Holding semalam menjelaskan bahawa logo itu sebenarnya adalah grafik yang digayakan.

“Biar Jakim dan polis melakukan apa yang perlu dilakukan berhubung siasatan mereka.

“Selepas siasatan mereka, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan tindakan seterusnya,” kata Ng kepada pemberita selepas pertemuan dengan pegawai Jakim di ibu pejabat mereka di Putrajaya pagi ini.

Beliau berkata isu logo itu adalah salah faham dan memohon maaf kerana menimbulkan rasa kurang senang dan sakit hati kepada masyarakat Islam.

“Sehubungan itu, saya memohon maaf. Saya berharap dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu dan lebih berhati-hati dan peka pada masa hadapan terutama berkaitan perniagaan,” katanya.

Tambahnya beberapa kasut tertentu telah ditarik balik dari rak dan jualan dalam talian.

Ng juga berkata beliau akan memberi kenyataan kepada polis hari ini.

“Saya sedang menunggu mereka memanggil saya untuk mendapatkan kenyataan,” katanya.

Isu kasut itu timbul dalam talian semalam berikutan media sosial mendakwa kasut ini memaparkan logo menyerupai perkataan “Allah”.

Awal hari ini, polis merampas sejumlah 1,145 pasang kasut di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah. Tiada tangkapan dibuat. – 8 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen