Inspektor polis antara 7 ditahan, disyaki larikan lelaki Bangladesh


SEORANG inspektor polis antara tujuh individu ditahan disyaki terlibat melarikan seorang lelaki warga Bangladesh dari sebuah rumah di Seremban pada 10 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Arifai Tarawe berkata penahanan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada abang mangsa yang berusia 32 tahun, kira-kira 1 pagi pada hari sama dengan menyatakan adiknya yang berumur 27 tahun dikurung oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di daerah ini.

“Mangsa yang merupakan pekerja kontrak pendawaian elektrik dikatakan berhutang dengan seorang daripada lelaki berkenaan dan diarah supaya membayar hutang berjumlah RM25,000 atau akan dipukul.

“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Mambau dan berjaya menyelamatkan mangsa pada 10.30 malam, keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 57 tahun dan kemudiannya mendedahkan penglibatan seorang inspektor polis dalam kejadian itu.

Arifai berkata pegawai polis berusia 57 tahun itu kemudian ditahan di Perak, kira-kira 11.15 pagi pada 12 Januari.

Kesemua lelaki terbabit direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, katanya. – Bernama, 18 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen