Menteri gesa polis tingkat usaha banteras jenayah 


Insiden dua lelaki melepaskan tembakan sehingga mencederakan tiga individu di Jalan King Huo di Sibu tiga hari lepas.– Gambar FB Sibu Terkini, 4 Januari, 2024.

POLIS digesa berkerja keras dan mengambil tindakan menyeluruh dalam menangani segala unsur-unsur jenayah di Sibu, di samping mengambil tindakan tegas bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Tiong King Sing membuat gesaan itu dalam merujuk kepada insiden dua lelaki melepaskan tembakan sehingga mencederakan tiga individu di Jalan King Huo di Sibu tiga hari lepas.

Beliau berkata polis perlu meningkatkan usaha bagi mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang untuk memastikan keamanan dan keselamatan komuniti di sini terpelihara.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini, beliau menggesa polis supaya berusaha gigih untuk menyelesaikan kes itu dengan segera, dan mengambil langkah lebih tegas dalam membanteras kumpulan penjenayah ini.

“Saya juga menggesa orang ramai supaya bekerjasama dan menyalurkan maklumat yang dapat membantu siasatan polis bagi menahan penjenayah yang bertindak sesuka hati melepaskan tembakan ini, sekali gus menghapuskan ancaman kepada masyarakat,” kata Ahli Parlimen Bintulu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong itu.

Tiong berkata beliau percaya polis Sibu mempunyai keupayaan untuk memerangi unsur-unsur jenayah yang mengancam keselamatan komuniti, dan dapat mengambil pendekatan yang tidak berkompromi dalam soal membanteras jenayah bagi memelihara keselamatan masyarakat.

Katanya insiden Isnin lepas mengejutkan seluruh masyarakat Sibu, mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penggunaan senjata api boleh berleluasa di bandar ini, sekali gus membangkitkan rasa bimbang terhadap ancaman keselamatan dalam kalangan orang ramai. – Bernama, 4 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen