SEORANG pegawai polis terbunuh dan seorang lagi cedera parah selepas tentera melepaskan tembakan ke arah unit yang menyamar semasa serbuan dadah dekat sebuah hotel di Sri Lanka, hari ini.
Menurut polis, unit itu sebahagian daripada usaha antinarkotik utama yang diberi kod nama ‘Yuktiya’ atau keadilan, menyaksikan lebih 17,000 tangkapan dalam tempoh tiga minggu lalu.
Menurut seorang pegawai polis yang enggan dikenali, tragedi berlaku ketika anggota polis dalam penyamaran melakukan operasi di sebuah hotel pesisir pantai dekat Weligama, destinasi luncur ombak popular di selatan negara itu.
Kata pegawai itu, tentera yang dikerahkan membantu polis tempatan dalam operasi antidadah bergegas ke kawasan itu untuk menyiasat kes tembakan, lalu melepaskan tembakan ke arah sebuah van yang dipandu laju meninggalkan tempat kejadian.
“Mereka tidak tahu terdapat pegawai dari Bahagian Jenayah Colombo di dalam van yang meninggalkan hotel,” katanya selain menambah siasatan kes itu sedang dijalankan.
Kejadian itu kematian pertama dilaporkan sejak operasi tegar dijalankan terhadap kegiatan pengedaran narkotik pada 10 Disember lalu.
Serbuan dihentikan selama dua hari bagi perayaan Krismas dengan polis dikerahkan untuk tugasan keselamatan lain, tetapi operasi disambung semula selepas cuti.
Operasi mengepung dan mencari dijalankan polis dengan bantuan tentera bersenjata lengkap dan penangkapan besar-besaran mencetuskan dakwaan berlaku pelanggaran hak asasi. – AFP, 31 Disember, 2023.
Komen