9 pemberontak komunis Filipina dibunuh dalam pertempuran, kata tentera


Menurut pihak tentera Filipina dalam satu kenyataan, pertempuran berkenaan tercetus di empat perkampungan terpencil berhampiran bandar Malaybalay. – Gambar AFP, 25 Disember, 2023.

TENTERA Filipina membunuh sembilan pemberontak komunis dalam beberapa siri pertempuran hari ini, kira-kira sebulan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyambung semula rundingan damai, kata angkatan tentera.

Menurut pihak tentera dalam satu kenyataan, pertempuran berkenaan tercetus di empat perkampungan terpencil berhampiran bandar Malaybalay.

Insiden berlaku pada permulaan gencatan senjata sebelah pihak selama dua hari sempena Hari Krismas yang diisytiharkan oleh parti komunis Filipina dan sayap bersenjatanya, Tentera Rakyat Baharu (NPA).

Divisyen Infantri Keempat pasukan tentera bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran mengenai pertempuran di Malaybalay yang dikatakan menyebabkan sembilan pemberontak NPA terbunuh.

Bulan lalu, kerajaan bawah pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr dan pihak pemberontak mengumumkan hasrat untuk menyambung semula rundingan damai tahun depan.

Ia berikutan beberapa siri rundingan yang gagal dilancarkan oleh kerajaan terdahulu sejak penyingkiran bekas presidden yang juga mendiang bapa Marcos pada 1986.

Pemberontakan kumpulan Maoist, dilapor sudah meragut ribuan nyawa.

Sabtu lalu, pemberontak mengumumkan mereka akan “menggantung serangan taktikal” selama dua hari bermula Hari Krismas sempena ulang tahun ke-55 penubuhannya pada Selasa.

Bagaimanapun, pihak tentera sebaliknya menegaskan mereka tidak akan melakukan gencatan senjata dengan NPA pada Hari Krismas tahun ini.

Pihak tentera mendakwa NPA ketika ini hanya mempunyai kurang 2,000 anggota yang tinggal berbanding kira-kira 26,000 gerila pada 1980-an. – AFP, 25 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen