Sanusi sengaja mahu lengah perbicaraan, kata timbalan pendakwa raya


Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2024.

PIHAK pendakwaan dalam kes Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang berdepan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan, membantah permohonan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen Selayang.

Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata tindakan pihak pembelaan memfailkan notis usul pada 11 Januari lepas untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, bukan suatu alasan yang perlu dipertimbangkan bagi menangguhkan perbicaraan.

“Pemfailan notis usul dibuat pada saat-saat akhir semasa kes ini sudah menghampiri tarikh bicara menunjukkan sikap tertuduh (Sanusi) sengaja mahu melengah-lengahkan perbicaraan, sedangkan semua tarikh perbicaraan itu dipersetujui oleh pihak-pihak di mahkamah ini.

“Tertuduh (Sanusi) didakwa di mahkamah pada 18 Julai tahun lepas dan pembelaan mempunyai masa enam bulan untuk memfailkan notis usul berkenaan.

“Pihak pendakwaan juga telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pembelaan pada 4 Oktober lepas. Dokumen yang diberikan bukan banyak, ada 11 dokumen sahaja. Kes membabitkan Menteri Besar Kedah ini berprofil tinggi yang sememangnya mendapat perhatian umum di seluruh negara,” kata Masri semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin hari ini.

Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan Sanusi yang juga Adun Jeneri untuk menangguhkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula hari ini dan esok, atas alasan ke luar negara untuk tugasan rasmi.

Tarikh-tarikh lain perbicaraan ialah pada 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, dan 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac ini.

Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Sanusi memohon supaya mahkamah melapangkan perbicaraan yang ditetapkan pada 5 Februari ini sementara menunggu permohonan untuk memindahkan kes itu diputuskan di Mahkamah Tinggi.

“Notis usul itu difailkan pada 11 Januari lepas dan salinan termeterai telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 15 Januari. 

“Sekiranya notis usul dibenarkan, adalah suatu yang pelik untuk memanggil semula saksi yang telah dipanggil (untuk beri keterangan di Mahkamah Tinggi), jika prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak digantung,” kata peguam itu.

Menurut Awang Armadajaya, permohonan untuk memindahkan kes dibuat setelah meneliti segala dokumen yang diberikan oleh pihak pendakwaan.

“Ia bukan isu dokumen banyak, tetapi kesan dan implikasi setiap dokumen pada perbicaraan seperti dokumen titah Sultan Selangor. Permohonan itu bukan sesuatu yang remeh, bersifat picisan atau dibuat atas alasan yang lemah tetapi ia menyentuh prinsip keadilan dalam permohonan jenayah,” katanya.

Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama, 18 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen