Langkah Dubai: Setiausaha politik Anwar buat laporan polis


Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

SETIAUSAHA Politik Kanan kepada Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini, beliau berkata laporan polis itu juga sebagai isyarat kepada pihak bertanggungjawab agar menghentikan usaha sia-sia tersebut kerana ia bukan sahaja menganggu sistem demokrasi berparlimen malah mewujudkan ketidakstabilan politik negara.

“Kita mahu gerakan ini ditamatkan sebab tak nak rakyat kata kerajaan tak ambil tindakan. Saya harap pihak polis segera siasat agar mereka yang terlibat dihukum,” katanya.

Beliau berkata laporan polis sama turut dibuat Angkatan Muda Keadilan di seluruh negara hari ini.

Ditanya tentang kesahihan kewujudan gerakan itu, Shamsul Iskandar yang juga pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada 30 Disember lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop dilaporkan mendakwa “Langkah Dubai” timbul sewaktu percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh dari pihak kerajaan, di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan menjalankan siasatan. – Bernama, 8 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen