DAP dan pilihan raya PBT: Gunting dalam lipatan?


Ruhan Shahrir

Komuniti Cina adalah majoriti dalam pegangan modal dan pemilikan hartanah di kota-kota besar khususnya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2023.

JIKA diperhatikan komen-komen di media sosial atau di ruang komentar beberapa portal berita berbahasa Inggeris (mungkin juga Mandarin) akan nampak jelas psiki umum komuniti Cina Malaysia.

Mereka cenderung menolak identiti serta keperibadian Malaysia yang berteraskan budaya Melayu dan pribumi lain.

Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin sahaja cara yang paling halus, terselindung dan tersembunyi yang digunakan oleh DAP sebagai wakil utama komuniti Cina dan pendukung-pendukung mereka untuk terus melunturkan unsur-unsur kemelayuan dan kepribumian kota-kota di Malaysia.

Pilihan raya PBT, jika dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa difikirkan dengan lebih halus dan mendalam, boleh berfungsi seumpama sebilah gunting yang secara bawah sedarnya mampu bukan hanya menajamkan konflik etnik dalam masyarakat Malaysia yang highly ethnicised ini tetapi juga mengubah identiti dan keperibadian kota daripada berteraskan budaya Melayu atau pribumi lainnya kepada “laissez-faire budaya” tanpa teras yang dikuasai oleh instrumen modal.

Sungguhpun komuniti Cina adalah minoriti dari sudut jumlah penduduknya namun sebagai satu unit kolektif, mereka adalah majoriti dalam pegangan modal dan pemilikan hartanah di kota-kota besar khususnya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Melaka, Seremban dan beberapa kota lain baik di Semenanjung mahu pun kota-kota besar di Sabah serta Sarawak.

“Laissez-faire budaya” tanpa teras seperti mana yang sering dikritik oleh Allahyarham Rustam Sani dalam banyak rencana beliau adalah suatu bentuk penzahiran kepada penolakan komuniti Cina terhadap apa sahaja unsur-unsur kemelayuan atau kepribumian tempatan yang dilihat rendah dan tidak punya fungsi ekonomi di dalam etos kapitalisme dan pasaran bebas.

Dengan kekuatan modal yang mereka miliki bukan hanya kota dapat dibentuk dalam bingkai “laissez-faire budaya” tanpa teras, malahan ia menjadi alat yang paling ampuh buat cukong-cukong mendanai calon-calon pilihan raya. 

Apatah lagi pilihan raya seperti PBT yang skalanya lebih kecil dan mudah untuk “menyorong” duit buat mereka yang bertanding bagi meneruskan penzahiran identiti dan keperibadian kota-kota dalam bentuk “laissez-faire budaya” tanpa teras.

Kota sebagai simbol identiti bangsa

Kota bukan hanya tentang kos untung-rugi material dalam bingkai birokrasi negara dan kapitalisme pasar seperti yang dihujahkan secara “rasionaliti instrumental” oleh DAP dan para pendukung pilihan raya PBT. 

“Rasionaliti instrumetal” adalah satu cara berfikir yang lahir daripada kapitalisme dan kemunculan negara-bangsa moden dalam bingkai birokrasinya yang mengutamakan matlamat perlu dicapai menerusi pengubahsuaian kaedah tanpa adanya “rasionaliti komunikatif”.

“Rasionaliti komunikatif” lebih didorong oleh proses wacana, dialog, perbincangan dan rundingan daripada pelbagai pemegang taruh dari bermacam segmen masyarakat dalam usaha untuk mencapai kesepakatan bersama atau yang paling hampir dengan kebenaran dalam menanggapi sesuatu persoalan yang muncul di dalam masyarakat.

Sedangkan “rasionaliti instrumental” dipandu oleh kehendak pasar dan modal serta andaian tentang kecekapan birokrasi. 

Bingkai cara berfikir menggunakan kaedah “rasionaliti instrumental” ini sudah pun dikritik oleh Habermas dalam wacana tindakan komunikatif beliau.

Namun bingkai inilah yang digunakan oleh DAP dan pendukungnya untuk mengabsahkan pilihan raya PBT di tingkat kota. 

Kebinalan dan kesendengan hujah-hujah mereka itu gagal untuk melihat kota di luar kanta kos, untung-rugi material, pasar serta birokrasi negara semata-mata. 

Kota bukan hanya melibatkan persoalan kos, pasar, untung-rugi material dan birokrasi semata-mata. Lebih daripada itu kota adalah simbol budaya, peradaban, identiti dan keperibadian sesebuah bangsa.

Teras identiti dan budaya

Bangsa Malaysia tentunya masih dalam pembikinan. Akan tetapi teras kepada identiti, keperibadian dan budayanya adalah jelas buat sebahagian besar masyarakat Melayu dan pribumi lain.

Yakni unsur-unsur yang terdapat dalam budaya Melayu dan pribumi lain seharusnyalah menjadi teras penting dalam penzahiran rupa bentuk, wajah dan identiti kotanya.

Kota seharusnya menyerlahkan unsur-unsur tempatan tersebut.

Namun oleh kerana struktur pegangan modal dan hartanah di kota-kota besar di Malaysia pada umumnya masih dikuasai oleh komuniti Cina khususnya, maka penyerlahan unsur-unsur tersebut tidak ketara.

Malahan di beberapa kota hampir tak ternampak identiti dan keperibadian unsur-unsur kemelayuan dan kepribumian tersebut. 

Tidak seperti kota-kota besar lain baik di Eropah, Asia mahu pun Asia Tenggara yang lebih ketara dan menyerlahkan unsur-unsur pribumi tempatan mereka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Ipoh, Seremban, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Sandakan misalnya kurang ternampak unsur-unsur tempatan ditonjolkan khususnya dalam rekayasa lanskap sosial kotanya.

Ini tentunya masalah struktural yang melibatkan persoalan proses sejarah kolonial dan etnisasi modal yang cenderung dikuasai oleh komuniti Cina sehinggakan budaya, identiti dan keperibadian kota-kota tersebut kehilangan unsur-unsur pribumi tempatan.

Hakikatnya yang lebih terserlah adalah fenomena “laissez-faire budaya” tanpa teras.

Malahan di beberapa kota yang lebih tertonjol adalah kewujudan “negara kecil China” di dalam negara Malaysia.

Justeru, tatkala tiadanya pilihan raya PBT pun, masih wujud fenomena “laissez-faire budaya” tanpa teras di banyak kota-kota di Malaysia, apatah lagi jika sekiranya diwujudkan pilihan raya PBT yang hanya diabsahkan menerusi hujah-hujah “rasionaliti instrumental” tanpa sebarang “rasionaliti komunikatif” terlebih dahulu.

Ideologi “laissez-faire budaya” DAP

Mungkin penerapan unsur-unsur kemelayuan dan kepribumian sebagai identiti serta keperibadian kota-kota di Malaysia inilah yang secara tersembunyinya ingin ditolak oleh DAP dan pendukung-pendukung mereka.

“Malaysian Malaysia” DAP tidak pernah menginginkan Malaysia yang punya identiti dan keperibadian berteraskan budaya Melayu dan pribumi yang lain.

“Malaysian Malaysia” DAP sebahagian besarnya adalah sebuah ideologi “laissez-faire budaya” tanpa teras. “Lassez-faire” secara harfiahnya bermaksud “benarkan apa yang orang nak buat”.

Dalam konteks sistem kapitalisme pasar yang kita jalankan di Malaysia, “apa yang orang nak buat” dan “boleh dibuat” sangat dipengaruhi oleh modal yang dimiliki. Negara jangan masuk campur. 

Biarkan “laissez-faire budaya” bergerak dan berkembang tanpa perlu adanya campur tangan daripada negara.

Ini yang tersembunyi di sebalik Deklarasi Setapak yang menjadi dokumen ideologi utama DAP.

Dengan kata lain, budaya dan identiti sesebuah negara itu biar ditentukan oleh masyarakatnya sendiri.

Natijahnya, komuniti yang memiliki modal yang besar dan luas (baca: komuniti Cina) cenderung akan menentukan budaya serta identiti sesebuah negara itu jika tiadanya campur tangan daripada negara.

Ideologi “Malaysian Malaysia” DAP dan Deklarasi Setapak adalah sebahagian daripada dokumen yang menunjukkan bahawa DAP berpegang kepada ideologi yang menolak adanya budaya teras buat Malaysia.

Bukan hanya DAP menolak idea budaya teras tetapi juga menolak naratif sejarah Malaysia yang bermula daripada politi-politi Melayu terdahulu.

Tulisan bekas Adun daripada DAP sendiri, Edry Faizal beberapa tahun yang lalu menunjukkan betapa DAP menolak sejarah kewujudan politi-politi awal Melayu dan kesinambungannya dengan Malaysia yang wujud pada hari ini. 

Tulisan Adun DAP itu kemudiannya dibidas oleh satu lagi tulisan yang membongkar kesendengan cara pandang wakil DAP tersebut.

Namun sehingga sekarang ia masih belum disanggah oleh Edry Faizal dan DAP sendiri tidak pula mengakui permasalahan yang wujud dalam pola fikir yang sebegitu rupa tentang sejarah Malaysia.

Gunting dalam lipatan atau betul bendul?

Menafikan unsur-unsur kemelayuan dan kepribumian Malaysia mungkin tidak lagi strategik untuk dilakukan secara terang-terangan.

Namun menerusi pilihan raya PBT yang disandarkan pula dengan hujah-hujah “rasionaliti instrumental”, ia mungkin diperkirakan sebagai dapat diterima ramai.

Diterima oleh mereka yang malas memperhalusi persoalan tersebut secara lebih mendalam, menyeluruh dan kritis.

Didukung pula oleh mereka yang menolak cara “rasionaliti komunikatif” dalam membahaskan persoalan yang sebenarnya bukan mudah tetapi cukup rumit.

Hanya khalayak yang kurang mahir membaca dinamika modal serta peranan cukong dalam rekayasa landskap sosial kota dan kompleksiti hubungan antara etnik di Malaysia sahaja yang mudah tergiur. 

Ada yang sampai meleleh air liur mahu menzahirkan pilihan raya PBT secepat mungkin.

Mahu menzahirkannya ketika parti-parti berteraskan Melayu pecah. Pada waktu kerajaan Madani gagal memperolehi sokongan majoriti daripada pengundi teras negara ini yakni orang Melayu.

Kalau pun bukan gunting dalam lipatan, mungkin juga betul bendul. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran! – 26 Disember, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen