Bukan Tanah Melayu tapi Tanah Majmuk


Faisal Tehrani

Setiap masyarakat memiliki kepercayaan, kebudayaan, bahasa, idea dan cara hidup masing-masing, menurut John Sydenhem Furnivall dalam 'Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2023.

BARU ini saya bertemu semula seorang kawan lama dari sekolah menengah. Beliau berasal dari Pulau Pinang.

Perbualan kami yang sudah memanjat setengah abad ini pada mulanya tampak lebih kepada hal kesihatan, anak-anak dan pekerjaan.

Sebetulnya saya mengelak untuk berbicara hal politik kerana sudah lama tidak berjumpa, dan manusia banyak berubah pula. 

Kawan lama itu kemudian entah diusik apa, tiba-tiba memberitahu saya begini: “Jiran aku DAP, dan aku benci dia.”

Memang kenyataan itu membuatkan saya menarik nafas dalam. Sebagai orang yang tidak mahu terlalu menyalahkan beliau, saya cuba menggali akar dan punca kata-kata sedemikian.

Menurut teman saya itu, jirannya seorang yang berbangsa Cina. 

Penghijrah Cina datang dari Tanah Besar China pada tahun 1850an secara besar-besaran.

Data migrasi agresif menunjukkan sekitar 24,000 kaum Cina memasuki Pulau Pinang mengatasi kaum Melayu di pulau itu yang tatkala itu sekitar 20,000 orang. 

Mereka ini berbeza dengan keturunan Baba dan Nyonya iaitu kelompok orang Cina lebih awal yang sama sekali telah terputus nasab, tidak lagi boleh berbahasa Cina, dan merojak identiti tempatan.

Penghijrah tahun 1850an ini digelar sinkeh atau pendatang baru. Francis Light amat memuji sumbangan masyarakat Cina di Pulau Pinang ini.

Kata Light pada tahun 1794: “…they are a valuable acquisition.”

Memandangkan kaum Inggeris memanjai orang Cina, kedengkian terhadap mereka menjadi suatu yang lumrah tatkala itu.

Dasar penjajah di atas menjadikan orang Melayu dengan lekas sekali menyalahkan Inggeris sebagai penyumbang kepada kemunduran bangsa, dan menuduh penjajah bertanggungjawab memberikan bahagian duniawi mereka kepada orang Cina. 

Maka tidak hairanlah ada agamawan atau negarawan yang berulang-ulang kali dalam kolum mindanya menamakan hujah ini. 

Di negeri-negeri lain, kaum Cina tertumpu ke kawasan perlombongan bijih.

Ini mengakibatkan mereka rata-ratanya berada di kawasan bandar dan terlibat langsung dengan sektor ekonomi moden berbanding kaum Melayu yang terperuk di desa dan mengerjakan sektor pertanian dan perikanan secara tradisional. 

Antara tahun 1921 sehingga kemerdekaan tanah air, dua pertiga penduduk bandar adalah terdiri dari kaum Cina.

Pun, untuk rekod penting dinyatakan yang kaum Cina pada waktu itu bukanlah pemegang modal sebeperti dibayangkan. Mereka lebih ramai terdiri daripada kelas pekerja. 

Namun demikian kerana orang Cina terlibat dengan perdagangan bandar, menjelang tahun 1969 orang Cina memiliki 22.8% modal saham di Semenanjung berbanding 1.5% dipunyai orang Melayu.

Ketika itulah orang Melayu seakan terpaksa menelan realiti yang Tanah Melayu kini adalah Tanah Majmuk. 

Menurut John Sydenhem Furnivall dalam “Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India”, dalam masyarakat majmuk terdapat berbilang masyarakat yang tinggal sebelah menyebelah dan berjiranan dalam satu unit politik yang sama tetapi dalam beberapa hal mereka itu terpisah. 

Setiap masyarakat ini memiliki kepercayaan, kebudayaan, bahasa, idea dan cara hidup masing-masing.

Ia juga berlanjutan dari pembahagian kerja dalam sektor ekonomi yang berasaskan kaum.

Kompleksiti kemajmukan ini menjadi lebih sengit apabila kaum Cina ini juga beragama Kristian.

Ini ekoran gerakan Protestan yang bermula secara aktif di Melaka dalam tahun 1814 menerusi William Milne.

Beliau menubuhkan kolej The Anglo Chinese College pada tahun 1818 melalui London Missionary Society. 

Menjelang tahun 2000, menurut Narimah Ibrahim dalam “Perkembangan Agama Kristian di Kalangan Penduduk Cina Sekitar Tahun 1900-2000” jumlah penganut Kristian dalam kalangan orang Cina menghampiri 539, 556 orang. 

Aspek pertentangan kaum Melayu dan Cina yang tajam mungkin hadir dek disebabkan agama yang menurut orang Melayu itu sangat mengikat dan berteraskan hukum-hakam (halal-haram).

Ini sangat berbeza dengan kaum Cina yang kepercayaannya lebih kepada persoalan hubungan moral-akhlak, muamalah sesama manusia dengan sikap peri kemanusiaan yang tinggi. 

Terhadap masyarakat Cina yang beragama Kristian pula, tanggapan orang Melayu terhadap penganut Nasrani banyak dipengaruhi oleh cara pandang yang sangat fikah sifatnya.

Perbincangan kaum bukan Islam terbatas kafir harbi dan dzimmi.

Orang Melayu juga sangat memberi perhatian kepada perdebatan dan juga perbincangan politik.

Politik menurut orang Melayu adalah punca kuasa. Masyarakat Cina pula bersikap longgar dalam hal ini, seperti dinukilkan oleh Ling Liong Sik dalam “The Malaysian Chinese: Towards Vision 2020” sebagai “…generally avoiding politics but maintaining good relations with the government; and being good citizens in their host countries.”

Sejajar dengan keadaan di atas, orang Melayu yang masih terperangkap dengan kerangka Tanah Melayu meneruskan pula pengamalan Islam hukum.

Malangnya Islam hukum di Malaysia ini pula ditatakelola dengan sangat ketat dan rapi oleh pihak penguasa sehingga mengorbankan banyak keadaan aspek uruf atau adat setempat.

Pegangan uruf terdapat dalam semua mazhab sehingga membolehkan wujudnya kepelbagaian fikah seperti Fikah Iraq, Fikah Masri dan dalam mazhab Syafie sendiri sudah ada qaul jadid dan qaul qadim atau fatwa lama dan baharu. 

Lebih dahsyat ketidakberdayaan masyarakat Melayu Islam negara ini mencerna aspek-aspek hukum yang lebih kompleks seperti maqasid syariah, satu bidang yang saya lihat sebagai aljebra dalam bidang fikah, atau fizik kuantum dalam bidang fizik.

Kebanyakan agamawan yang mahir maqasid tidak berada dalam Parti Islam Semalaysia, dan lebih menumpu dalam parti Amanah yang lebih progresif.

Ketidakmampuan masyarakat Melayu melakukan adaptasi dari segi pengalaman hukum dan fikah banyak berlaku kerana sekolah-sekolah agama dan agamawan terdahulu juga menekankan aspek fikah yang terlalu umum sifatnya, selain mementingkan soal akidah sehingga menjatuhkan darjah perhatian terhadap konsep ihsan dan sarwa pandang tasawuf. 

Masyarakat Cina padahal sangat mudah melakukan adaptasi khususnya dalam hal budaya.

Ini sebagai misalan disebut oleh Lee Siow Mong dalam ‘Spectrum of Chinese Culture’: “…it is the nature of culture to undergo changes…because it is a living thing. A culture that is capable of changing to fit in with a new environment or absorb what is good or practical in other cultures which it comes into contact with, will be the richer for it.”

Sebetulnya, kerangka Tanah Melayu menjadi lebih sukar dipertahankan sejak 16 September 1963.

Sebetulnya mulai 16 September tahun itu, Tanah Melayu sudah pun bertukar identiti menjadi Tanah Majmuk dengan penyertaan Sabah dan Sarawak (juga Singapura). 

Tidaklah menghairankan kawan saya yang merupakan penyokong dan pengundi Perikatan Nasional itu menyampahkan motto Segulai Sejalai.

Menurut beliau, seperti telah dipantakkan oleh minda presiden partinya; Malaysia adalah Tanah Melayu selama-lamanya.

Dan oleh Tanah Melayu, ada tuan dan juga pendatang, satu naratif yang dipegang oleh orang sezaman Dr Mahathir Mohamad yang mendekati 100 tahun itu.

Hakikat dan real politik dekad ke belakang tidak lagi diperkirakan.

Untuk orang seperti teman saya, pegangan sejarah adalah penting iaitu sejarah seumpama Kesultanan Melayu Melaka, Batu Bersurat Trengganu dan Kanun Melaka.

Perhitungan sejarah tahun 1850an, dan juga 1963 tiada dalam koceknya. 

Sejarah menurut beliau mestilah Mat Kilau. Sejarah bukan Yap Ah Loy.

Untuk beliau, mereka yang mempertahankan masyarakat majmuk adalah juak khadam atau ejen penjajah.

Mereka yang berpegang kepada sejarah 1850an dan 1963 adalah musuh bangsa dan diperbodohkan oleh orang Cina. 

Makanya minum petang kami di kafe stail itu berakhir dengan dia memandang saya sebagai keparat dan musuh bangsa.

Beliau memandang diri sendiri sebagai terpaling Melayu dan Islam. 

Demikianlah negara ini terbahagi dengan simplistik sekali, padahal ia tidak semudah itu. – 19 September 2023.
 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen