Dr Dzulkefly berdepan tugas getir, kata pemegang taruh


Alfian Z.M. Tahir

Dr Dzulkefly Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Dr Zaliha Mustafa dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2023.

MENTERI Kesihatan yang baharu dilantik Dr Dzulkefly Ahmad berdepan tugas berat dan perlu membuat keputusan yang sukar untuk memastikan kualiti dan liputan penjagaan kesihatan dapat diakses oleh semua, kata pemegang taruh perubatan.

Sambil mengalu-alukan pelantikan semula Dzulkefly ke jawatan itu Selasa lalu, mereka berkata pengalaman ahli Parlimen Amanah dan tiada pendekatan mengarut amat diperlukan, terutama selepas kerajaan memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Azizan Abdul Aziz berkata Dzulkefly mempunyai rekod prestasi yang terbukti, pengalaman dan kualiti kepimpinan yang kukuh.

Beliau memuji Dzulkefly kerana kebolehannya menangani isu kompleks dalam sistem penjagaan kesihatan.

“MMA mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Dzulkefly (sebelum ini). Beliau sedia mendengar pandangan pakar dan mengadakan pembabitan tetap dengan pihak berkepentingan mengenai sebarang keputusan dasar. Beliau juga sanggup membuat keputusan yang tidak popular apabila diperlukan (seperti larangan merokok di kedai makan) untuk melindungi kesihatan awam,” katanya.

Sehari selepas pelantikannya semula, Dzulkefly memohon maaf atas pengguguran peruntukan tembakau dan vape generational endgame (GEG) daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam.

Dzulkefly turut menggesa semua pihak memahami dan menyokong langkah kerajaan buat masa ini.

Pengguguran peruntukan GEG daripada rang undang-undang yang dicadangkan adalah antara kritikan besar terhadap menteri sebelum ini Dr Zaliha Mustafa.

Satu lagi rungutan utama terhadap Zaliha adalah penyingkiran cecair vape daripada senarai racun.

Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) berkata, Dzulkefly kini perlu memastikan Kementerian Kesihatan mengembalikan cecair vape — mengandungi bahan ketagihan nikotin — ke dalam senarai racun.

Presiden MPS Profesor Amrahi Buang berkata kementerian juga perlu meneruskan GEG yang bertujuan mengharamkan merokok bagi mereka yang lahir selepas tahun tertentu.

“MPS mencadangkan Dzulkefly menangani isu cecair dan gel yang mengandungi nikotin yang dinyahsenarai daripada senarai racun awal tahun ini. Kami meminta beliau mengembalikan barangan itu untuk dilindungi oleh Akta Racun,” kata Amrahi.

Sebelum ini, tiga kumpulan badan bukan kerajaan menyaman Zaliha berhubung penyingkiran cecair vape daripada senarai racun dan mahu mahkamah mengembalikan semula peraturan Kementerian Kesihatan berhubung cecair dan gel e-rokok dan vape.

Bercakap lebih lanjut, Amrahi menyatakan kerajaan harus memberi perhatian serius terhadap keselamatan perubatan sebagaimana perhatian diberikan kepada keselamatan makanan.

Beliau berkata kerajaan mesti mematuhi pengajaran daripada pandemik Covid-19 serta mencari penyelesaian bagi kekurangan ubat dan bahan mentah untuk pembuatan ubat-ubatan akibat isu geo-politik seperti perang Russia-Ukraine dan konflik Palestin-Israel.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata Dr Dzulkefly Ahmad mempunyai rekod prestasi yang terbukti, pengalaman dan kualiti kepimpinan yang kukuh. – Gambar Persatuan Perubatan Malaysia, 17 Disember, 2023.

Empat isu kritikal

Sementara itu Hartal Doktor Kontrak (HDK), kumpulan tidak rasmi yang mewakili doktor kontrak, berharap proses pembaharuan kesihatan dan kebajikan semua kakitangan akan menjadi tunjang pentadbiran Dzulkefly.

“Kami juga terbuka untuk dirujuk bagi memberikan pandangan dan kritikan membina bagi memperkasakan penyampaian penjagaan kesihatan untuk semua warganegara Malaysia yang dikasihi,” kata HDK di Facebook.

Ketua Eksekutif Dasar Kesihatan dan Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, Dzulkefly kini perlu mempertimbangkan empat isu kritikal dalam sistem penjagaan kesihatan yang belum ditangani oleh Zaliha.

Azrul berkata Dzulkefly juga mesti mengutamakan berkomunikasi dengan lebih berkesan dan memastikan pembabitan semua pihak berkepentingan dalam perancangan program dan penilaian hasil.

“Beliau perlu mempertimbangkan untuk mencari penyelesaian kepada pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan, bertindak balas dengan berkesan kepada krisis penyakit tidak berjangkit, merapatkan jurang kesihatan mental, dan menangani kekurangan kesediaan untuk menyediakan penjagaan bagi penduduk yang semakin menua.

“Menteri sebelum ini menghadapi isu yang sama tetapi kami tidak lihat sebarang peningkatan tahun lalu.”

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan barisan Kabinet pada sidang media pada Selasa, berkata Dzulkefly diamanahkan untuk menerajui KKM kerana pengalamannya penting untuk mengukuhkan kementerian.

Dzulkefly, yang memegang portfolio menteri kesihatan dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, menggantikan Zaliha, yang dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri.

Semasa memegang jawatan, Zaliha, ahli Parlimen Sekijang mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun walaupun mendapat tentangan sebulat suara daripada Lembaga Racun. – 17 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen