Hartal Doktor Kontrak gesa isu buli ditangani segera


Ravin Palanisamy

Hartal Doktor Kontrak menggesa KKM mencari penyelesaian segera bagi menangani budaya buli yang masih berleluasa dalam sektor kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2023.

GERAKAN Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mencari penyelesaian segera bagi menangani budaya buli yang masih berleluasa dalam sektor kesihatan awam dan swasta .

KKM perlu mengambil langkah tegas memerangi kes buli melibatkan pengamal perubatan, termasuk mewujudkan mekanisme pelaporan yang jelas serta memastikan setiap aduan diambil serius, kata jurucakap HDK kepada The Malaysian Insight.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada lima cadangan yang dikemukakan kepada KKM dalam usaha menangani kes buli.

Cadangan tersebut diajukan berikutan tinjauan yang dijalankan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) baru-baru ini mendapati 30% hingga 40% doktor di negara ini menjadi mangsa buli.

HDK berkata isu buli di hospital bukanlah isu baharu yang disuarakan gerakan itu, malah telah dibangkitkan selama hampir dua tahun.

“Kami yang mula-mula bangkitkan isu ini secara terbuka menerusi media sosial awal tahun lepas, dan KKM kemudian setuju untuk membentuk Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Namun sehingga kini usaha itu tidak membawa kepada perubahan seperti yang diharapkan, tambah jurucakap itu.

Tinjauan oleh MMA yang dilaksanakan antara 15 September hingga 1 Oktober lalu mendedahkan kira-kira 40% doktor menjadi mangsa buli di tempat kerja. Seramai 728 doktor daripada sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta telah mengambil bahagian dalam tinjauan itu.

Menurut MMA, sebanyak 253 kes buli direkodkan dengan jumlah tertinggi dilaporkan di Sarawak (15), diikuti Selangor (9) dan Perak (8), manakala 197 kes buli direkodkan daripada negeri yang tidak diketahui.

Bagaimanapun, Sabah dan Melaka tidak merekodkan sebarang kes buli.

Daripada 728 doktor yang terlibat dalam tinjauan tersebut, 476 adalah pegawai perubatan, pakar (207) dan doktor pelatih (46).

Mengulas lanjut mengenai isu buli di hospital, jurucakap HDK berkata KKM perlu mempertimbangkan latihan komprehensif serta kempen kesedaran untuk mendidik kakitangan di hospital mengenai kes buli, kesan dan pencegahannya.

Selain itu khidmat sokongan kepada mangsa buli, termasuk kaunseling dan bantuan kesihatan mental perlu diwujudkan, katanya.

“Budaya juga perlu diubah. KKM boleh memupuk sikap saling menghormati, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan institusi penjagaan kesihatan.”

Turut ditekankan ialah perlindungan kepada pemberi maklumat supaya aduan dapat dikemukakan tanpa rasa takut.

“Langkah-langkah ini penting bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat,” kata HDK. – 21 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen