KKM perlu fokus 3 bidang kesihatan, kata pakar


Ravin Palanisamy

Sektor kesihatan memerlukan dana yang besar tetapi pada masa yang sama kerajaan perlu tahu bidang mana dan bagaimana dana perlu dibelanjakan, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2023.

PEMBIAYAAN penjagaan kesihatan, rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penjagaan warga emas merupakan tiga perkara penting yang perlu kerajaan beri perhatian melalui RM41.22 bilion yang diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2024, kata pakar.

Menurut mereka, peruntukan terbesar iaitu sebanyak 10.5% daripada jumlah keseluruhan RM393.8 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu harus digunakan sebaiknya.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata bagi pembiayaan kesihatan, kerajaan perlu mengetahui apa yang diperlukan, berapa banyak jumlah peruntukan yang ada dan mencari penyelesaian untuk merapatkan jurang pembiayaan.

“Terutama sekali bagi perkara-perkara melibatkan pengambilan dan pengekalan kakitangan, pemodenan infrastruktur perubatan dan rawatan NCD.

“Sektor kesihatan memerlukan dana yang besar tetapi pada masa yang sama kita juga perlu tahu bidang mana dan bagaimana dana perlu dibelanjakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain itu kata Azrul, kerajaan juga perlu melihat sektor kesihatan sebagai pelaburan penting yang akhirnya memberi pulangan dalam bentuk rakyat yang sihat dan produktif untuk membagunkan negara.

Beliau juga berkata caj RM1 untuk rawatan pesakit luar dan RM5 bagi rawatan pakar ke atas pesakit di klinik dan hospital kerajaan patut dihapuskan.

“Caj ini memberi gambaran yang salah bahawa kos penjagaan kesihatan di Malaysia lebih murah di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Kami percaya jika caj-caj ini dihapuskan ini akan membuka jalan dan memudahkan pembaharuan dalam pembiayaan penjagaan kesihatan terutamanya insurans kesihatan sosial,” jelasnya.

Ketika pembentangan Belanjawan 2024, Anwar yang juga menteri kewangan umum KKM menerima peningkatan peruntukan terbesar tahun depan iaitu sebanyak RM41.2 billion berbanding RM36.3 bilion tahun ini.

Beliau berkata sejumlah RM5.5 bilion daripada jumlah itu adalah bagi perolehan bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Mengulas lanjut, Azrul berkata satu lagi isu kritikal yang perlu diberi perhatian oleh KKM ialah NCD (penyakit tidak berjangkit).

Katanya, kes NCD di Malaysia semakin meningkat, dengan diabetes dikenal pasti antara penyumbang utama.

“Hampir 5.5 juta orang menghidap diabetes di negara ini.

“Laporan KKM-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mendedahkan perbelanjaan penjagaan kesihatan tahunan bagi penyakit ini ialah RM4.38 bilion, dan jumlah ini adalah yang tertinggi berbanding penyakit kardiovaskular dan kanser,” kata Azrul.

Menurutnya dalam erti kata lain, bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk tiga jenis NCD, 45 sen adalah untuk diabetes, kardiovaskular (41 sen) dan kanser (14 sen). 

Oleh itu beliau mencadangkan pembayaran bersama sehingga 30% daripada kos sebenar diperkenalkan untuk rawatan diabetes.

“Ini akan membantu meningkatkan kepatuhan orang ramai terhadap rawatan, mengurangkan pembaziran ubat bersubsidi serta mengurangkan kemungkinan komplikasi lanjut seperti kegagalan buah pinggang,” katanya. – 12 November, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen