Peruncit rokok tak setuju syarat mohon lesen jualan


Angie Tan

SYARAT terbaharu Putrajaya agar semua peruncit memohon lesen jualan rokok mulai 1 Januari mendapat tentangan dengan ada yang mengancam untuk tidak menjualnya produk tembakau berkenaan.

Rata-rata mereka tidak berpuas hati kerana terpaksa membayar RM150 untuk lesen itu lebih-lebih lagi apabila jualan rokok semakin berkurangan.

Lesen itu dikeluarkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Timbalan Presiden Persatuan Peniaga Kopi, Restoran dan Bar Johor Bahru Yong Wa Kong berkata sekurang-kurangnya 50% pemilik kedai kopi di Johor Bahru mengugut untuk tidak mahu menjual rokok jika kerajaan bertegas dengan bayaran tersebut.

Yong berkata jualan rokok lembap disebabkan persaingan daripada penyeludupan dan e-rokok.

“Rokok sekarang sangat mahal. Oleh itu perokok yang lebih berusia cenderung untuk membeli rokok seludup ‘lebih murah’, manakala perokok golongan muda lebih suka e-rokok,” katanya.

Yong berkata kedai kopi yang menjual rokok pernah memperoleh margin keuntungan 10%, secara kasarnya membuat nilai keuntungan purata satu pek untuk setiap 10 jualan.

“Sekarang itu sudah tiada.

Masalah itu ditambah lagi oleh syarikat rokok sendiri, katanya.

“Mereka menukar pendekatan pemasaran daripada secara peribadi kepada jualan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata keadaan sedemikian dan keperluan pelesenan membuatkan peruncit merancang untuk tidak menjualnya.

Yong berkata persatuan itu akan menerima aduan ini dengan pihak berkuasa dan syarikat rokok.

Pengerusi Persatuan Peniaga Barangan Runcit Klang Tan Teck Hock melahirkan rasa kesal dengan notis singkat yang diberikan kerajaan berkaitan permohonan lesen itu.

Beliau berkata peniaga menerima notis itu hanya dua bulan lalu dan kini hanya mempunyai beberapa minggu untuk mendapatkannya.

“Kami bimbang kerana sesetengah pemilik kedai runcit warga emas mungkin tidak tahu cara memohon lesen secara dalam talian.

Tan berkata beliau diberitahu beberapa pemilik lama berkata jika proses permohonan terlalu rumit mereka lebih suka tidak menjual rokok.

Beliau merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan melanjutkan tarikh akhir bagi membolehkan peruncit yang lebih berusia mempunyai masa yang mencukupi untuk mengemukakan permohonan.

Seperti Yong, Tan berkata yuran tahunan RM150 untuk lesen rokok adalah terlalu tinggi.

“Rokok sudah mempunyai margin keuntungan yang tipis. Dengan rokok seludup yang semakin berleluasa di pasaran tiada keuntungan yang boleh diperolehi dengan rokok.

“Saya fikir kebanyakan orang akan memilih untuk tidak menjual rokok,” katanya.

Selain lesen rokok baharu, Tan berkata peniaga sudah membelanjakan antara RM1,500 dan RM2,000 untuk lesen perniagaan, pengiklanan, minuman keras dan majlis perbandaran.

“Jika kita menambah lesen rokok, kosnya akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Tan berkata kos RM50 hingga RM100 adalah lebih berpatutan.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata kumpulannya bertemu dengan pegawai khas Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof tiga minggu lalu ketika Fadillah masih menjadi menteri perladangan dan komoditi.

“Pegawai itu berjanji untuk menyerahkan memorandum kepada menteri. Cadangan kami kemudiannya adalah untuk memasukkan peraturan lesen rokok ke dalam lesen pendaftaran perniagaan dan mengetepikan fi.

“Bagaimanapun kabinet dirombak dan menteri bertukar. Kami akan cuba berjumpa dengan timbalan menteri baharu Chen Hong Jian secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya beliau berharap menteri baharu dapat memutuskan perkara itu tidak lama lagi.

Hong berkata adalah tidak wajar untuk membebankan pengendali dengan lesen tambahan.

Kerajaan melaksanakan peraturan kawalan produk tembakau dalam tiga peringkat sejak tahun lepas.

Peringkat pertama melibatkan kesedaran dan advokasi, peringkat kedua membenarkan perniagaan mendapatkan lesen jualan tembakau atau produk tembakau secara percuma dan peringkat ketiga mulai 1 Januari akan mengenakan bayaran kepada pengusaha untuk lesen.

Kementerian Perladangan dan Komoditi pada masa itu berkata peringkat ketiga akan melibatkan penguatkuasaan peraturan. – 13 Disember 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen