Persatuan peruncit persoal bagaimana undang-undang anti-merokok dilaksana


GABUNGAN Persatuan Peniaga Pelbagai Barangan Malaysia (FSGMAM) mempersoalkan kerajaan bagaimana pemeriksaan akan dilakukan terhadap mereka yang ingin membeli rokok atau produk vape di bawah undang-undang tembakau Generasi Penamat (GEG).

Kebimbangan mereka timbul selepas keputusan kerajaan untuk mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang disemak pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Mereka berkata ia masih tidak jelas kerana tiada siapa yang mengetahui bagaimana cadangan GEG akan dilaksanakan.

Presiden FSGMAM Hong Chee Meng berkata kebimbangan utama mereka ialah bagaimana GEG akan dilaksanakan.

 “Ini tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pemain runcit dan kami adalah barisan hadapan untuk melaksanakan cadangan itu.

“Kami tidak tahu sama ada peruncit akan diminta menyemak kad pengenalan setiap orang dewasa yang dilahirkan selepas 2007 pada masa depan?

“Kita juga tidak tahu sama ada akan wujud aplikasi digital seperti aplikasi MySejahtera yang mesti digunakan oleh perokok yang lahir sebelum 2007 setiap kali membeli rokok atau produk vape,” katanya dalam satu kenyataan.

Hong berkata ahli tidak jelas sama ada pelaksanaan peraturan akan menyebabkan mereka didenda berat kerana berita juga melaporkan RUU yang disemak termasuk denda lebih tinggi kepada pembekal.

“Tiada perincian bagaimana ini akan dilaksanakan dan terdapat denda yang sangat tinggi.

“Ini akan menyebabkan kekacauan dalam sektor peruncitan dan setiap peruncit berisiko.

“Selain itu, apa yang berlaku jika ada yang menggunakan kad pengenalan palsu atau membayar pembeli peribadi (personal shopper) untuk membeli produk? Kami tidak pasti peruncit akan dihukum dalam keadaan sedemikian.”

Tambahnya, tiada sesi taklimat dengan Kementerian Kesihatan atau perbincangan dengan sektor peruncitan mengenai semua ini.

“Mereka masih belum memperjelaskannya kepada kamii perkara penting seperti itu.

“Kami mencadangkan agar peruntukan GEG ditangguhkan dahulu sehingga kementerian membuat perancangan,” katanya.

Hong juga berkata kerajaan harus memberi tumpuan kepada memudahkan prosedur untuk menjalankan perniagaan dan tidak memperkenalkan dasar lebih kompleks.

“Cadangan GEG ini sangat rumit dan ia mewujudkan kerumitan kepada perniagaan.

“Dengan semua ketidaktentuan ekonomi, inilah masanya perniagaan perlu disokong oleh kerajaan apabila ia berkaitan dengan kemudahan menjalankan perniagaan dan tidak dikenakan prosedur membebankan.” – 6 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen