Pengusaha beri amaran kenaikan harga barang sekali lagi


Khoo Gek San

Kedai runcit tidak sempat mengubah harga jualan dan mengalami kerugian susulan peningkatan kos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

KOS barangan pengguna mungkin naik semula, susulan kenaikan kos dalam logistik dan rantaian bekalan, pengusaha memberi amaran.

Trend ini dijangka berterusan sehingga tahun depan, yang mungkin menyaksikan harga makanan meningkat 10% hingga 30% – termasuk harga minyak masak, yang meningkat sehingga 70% bulan ini, ketika harga barangan keperluan harian dan produk isi rumah meningkat sebanyak 5% hingga 10%.

Kopi Nestle, teh dan minuman lain mengalami kenaikan harga 5%, manakala barangan seperti lampin, sabun basuh dan tisu tandas menyaksikan kenaikan harga 5% hingga 8%, menurut Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata ini berikutan kekurangan bekalan dan kos logistik yang tinggi, sambil menambah yang kerajaan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak dapat mengawal kenaikan harga.

Chaang, yang mengusahakan kedai runcit selama bertahun lamanya berkata pembekal berasa tekanan kenaikan harga bulan ini.

Beliau berkata berbanding dua bulan lalu, harga semasa minyak masak naik 70%, susu pekat naik 20%, Milo naik 10%, biskut naik 10%, sos cili dan sos tomato naik 10%, roti naik sebanyak 10%, makanan dalam tin naik 15% dan perasa seperti kicap naik 20% hingga 30%.

Beliau menambah harga pencuci lantai turut naik 10% lebih tinggi, dan meramalkan kekurangan sabun basuh disebabkan bekalan yang terhad.

Memandangkan kebanyakan barangan diimport dari China, penghantaran adalah mahal dan mengambil masa lama, dan kerana China menghadapi kekurangan bahan mentah, ia perlu mengimport bahan tersebut dan menyumbang kepada kos yang tinggi, tambah beliau.

Chaang berkata kedai runcit tidak sempat mengubah harga jualan dan akan mengalami kerugian susulan peningkatan kos.

“Setiap kali tempahan dibuat, pemborong akan mengumumkan kenaikan harga. Kumpulan barangan terakhir masih belum habis dijual, tetapi pemborong akan mengumumkan kenaikan harga apabila barang-barang itu hendak distok semula.

“Pekerja akan menyusun barang di rak terlebih dahulu dan kemudian mengemas kini harga. Jika daftar tunai dikemas kini (dan terdapat harga tidak sama), pelanggan akan mempersoalkan harga dan kami perlu menanggung kerugian.

“Kami sudah berniaga selama 20 tahun, dan ini adalah kali pertama menghadapi masalah sebegini.”

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK, K.K. Chai memberitahu The Malaysian Insight kenaikan harga akan berterusan sehingga tahun depan.

Beliau berkata, caj penghantaran meningkat 100% pada bulan lepas, mengakibatkan kenaikan harga barang import.

Beliau berkata harga bahan mentah juga meningkat dan diskaun tidak membantu, sambil menambah yang kos keseluruhan produk tempatan meningkat 5% hingga 10%, manakala kos keseluruhan produk import meningkat 20% hingga 30%.

“Ini serampang dua mata. Barang import sudah mahal, dan peruncit tidak mampu memberikan diskaun.

“Kami boleh membuat promosi hanya untuk tempoh yang singkat kerana harga hampir semua produk naik harga, bukan hanya dua atau tiga produk.”

Sebagai contoh, Chai berkata kenaikan 30% dalam harga plastik menyebabkan peningkatan dalam kos beg plastik dan resit di kedai serbaneka, yang terpaksa menanda produk untuk menampung kos operasi seperti sewa.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Pelbagai Malaysia Hong Chee Meng berkata peniaga runcit menjual barangan pada harga yang ditetapkan pembekal.

“Pembekal akan memberikan sebut harga hampir setiap minggu, dan peniaga runcit juga tidak berjaga-jaga.”

Beliau berkata peniaga runcit tempatan menikmati peningkatan perniagaan sebanyak 30% semasa peringkat awal wabak kerana penduduk tidak dapat melakukan perjalanan jauh kerana sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, sejak sekatan pergerakan ditarik balik, persaingan menjadi lebih sengit, tambahnya.

Hong berkata harga karton dan beg kertas meningkat empat kali ganda sejak Mac tahun lepas.

“Jika penjual boleh menyerap (kenaikan harga), mereka tidak akan menaikkan harga jualan. Jika tidak mampu, mereka akan menaikkan harga jualan,” katanya sambil menambah kuasa beli pengguna juga menurun.

Ameer Ali juga berkata kuasa beli pengguna menurun.

“Dari awal wabak sehingga kini, pengunjung di pusat beli-belah meningkat dua kali ganda. Bagaimanapun, kuasa beli sebenar (pengguna) hanya kira-kira 70% sahaja.”

Ini kerana orang ramai tidak mempunyai wang mencukupi dan wabak masih belum reda, tambahnya. – 8 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen