Perlu langkah drastik tangani isu peruncitan, kata pengusaha


Noel Achariam

Harga barangan keperluan asas dijangka terus meningkat dan trend ini dijangka berterusan dalam beberapa bulan akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

PUTRAJAYA perlu mengambil langkah drastik untuk menangani isu semasa yang menjejaskan jualan dan operasi industri runcit, kata pakar.

Menurut Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM), Putrajaya perlu menangani tiga isu penting yang melanda industri itu – kenaikan kos barangan, kekurangan kakitangan dan ketibaan pelancong.

Pengarah Urusannya, Tan Hai Hsin berkata harga barangan keperluan asas terus meningkat dan trend ini dijangka berterusan dalam beberapa bulan akan datang.

“Kenaikan harga makanan menjejaskan kos memasak di rumah dan makan di luar,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

“Belum pernah perkara ini berlaku dalam sejarah Malaysia kerana semua subkumpulan makanan yang dikesan Jabatan Perangkaan menyaksikan kenaikan harga.

“Selain itu, harga kebanyakan barangan pengguna juga meningkat.”

Beliau berkata, harga makanan dan barangan pengguna meningkat dua digit dalam tempoh singkat.

“Apabila gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 di seluruh negara, bagi syarikat yang menggaji lima atau lebih pekerja, ia menyaksikan peningkatan kos operasi bukan sahaja untuk peruncit, tetapi juga semua pengendali yang terlibat dalam rantaian bekalan runcit.

“Harga barangan pengguna meningkat di kedai-kedai di seluruh negara termasuk pekan kecil dan kawasan luar bandar.”

Tan menambah, satu lagi faktor penyumbang kepada kenaikan harga ini ialah perang antara Russia-Ukraine yang tidak berkesudahan sekali gus mengganggu rantaian bekalan global.

“Ini menyebabkan harga tenaga lebih tinggi ditambah pula dengan kekurangan bahan mentah dan alat ganti perindustrian bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Walaupun beberapa kedai runcit di Malaysia menghadapi kekurangan barangan untuk dijual, ramai antara mereka terpaksa berdepan dengan kos barangan runcit lebih tinggi. Kos barangan lebih tinggi membawa kepada harga runcit lebih tinggi.”

Kenaikan harga barang boleh membawa kepada kenaikan kos sara hidup, kata kata Pengarah Urusan Kumpulan Peruncit Malaysia, Tan Hai Hsin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2022.

Beliau berkata dengan kenaikan harga ini boleh membawa kepada kenaikan kos sara hidup.

“Ini bermakna kurang wang untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang tidak penting di mana tingkah laku dan corak membeli-belah kumpulan B40 dan M40 berubah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

“Mereka cuba memasak di rumah, menangguhkan pembelian barangan bernilai tinggi, memberi perhatian lebih kepada tawaran dan diskaun yang diberikan peruncit, serta mengurangkan pergi ke kafe dan restoran menarik.

“Jadi, kerajaan perlu menyelesaikan kejutan kenaikan harga ini dan menghalang ia berterusan sehingga tahun depan,” kata Tan.

Mengenai kekurangan pekerja, Tan berkata ia menjejaskan waktu jualan dan operasi bagi kebanyakan kedai runcit.

Beliau berkata kekurangan itu berlaku membabitkan pekerja tempatan dan asing yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan runcit.

“Ia lebih serius di Johor kerana mata wang Singapura lebih kukuh. Mereka menghadapi masalah yang sama, jadi mereka sanggup menawarkan gaji yang sangat menarik untuk menarik rakyat Malaysia bekerja di sana.

“Putrajaya perlu menyelesaikan isu ini secepat mungkin kerana ia akan memperlahankan pemulihan ekonomi di Malaysia.”

Bagi industri pelancongan pula, Tan berkata dari segi trafik membeli-belah, pelancongan domestik menunjukkan pemulihan semasa perayaan Hari Raya baru-baru ini.

“Awal bulan ini, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) menyemak semula sasaran ketibaan pelancong asing kepada 10 juta orang.

“Bagaimanapun, sasaran itu jauh lebih rendah berbanding ketibaan pelancong asing pada 2019 iaitu 26.1 juta,” katanya.

Beliau berkata kekurangan pelancong asing menjejaskan perniagaan runcit di pusat membeli-belah yang sangat bergantung kepada kumpulan itu.

“Contohnya di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan lapangan terbang antarabangsa (terutama KLIA dan KLIA2).

“Putrajaya perlu melakukan lebih banyak promosi untuk menarik pelancong asing melawat Malaysia untuk tahun akan datang,” tambah Tan. – 18 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen