Ahli Parlimen, senator diseru jadi contoh henti tabiat perokok


Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ahli Parlimen dan senator perlu jadi contoh terbaik kepada masyarakat dalam usaha kerajaan menghentikan tabiat merokok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2023.

AHLI Parlimen dan ahli Dewan Negara disaran menjadi contoh terbaik kepada masyarakat dalam usaha kerajaan menghentikan tabiat merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ia penting seiring kedudukan ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara sebagai penggubal dasar dan undang-undang negara yang tertinggi.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh Dewan Negara dan Dewan Rakyat berikutan ramai dalam kalangan senator dan wakil rakyat yang merupakan perokok tegar, dan lebih malang perlakuan negatif itu ditularkan menerusi media sosial. 

“Penguatkuasaan (Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 kelak) perlu diambil serius. Tan Sri Yang Dipertua (Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) saya mohon khidmat nasihat dan saranan kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar tidak merokok.

“Kita adalah penggubal dasar, jangan pula beri contoh buruk kepada masyarakat kerana banyak gambar dan cerita (menerusi laman maya) bahawa masih ramai perokok dalam kalangan Ahli Parlimen dan Senator,” katanya dalam sesi jawab lisan di sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu langkah kerajaan memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat membendung peningkatan merokok dalam kalangan generasi muda. – Bernama, 13 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen