Doktor di Itali mogok minta tambah baik sistem kesihatan


Kira-kira 85% petugas Perkhidmatan Kesihatan Nasional Itali dan kemudahan perubatan swasta tidak bekerja pada Selasa bagi menuntut perkitaran kerja lebih baik dan penambahbaikan kepada sistem kesihatan awam. – Gambar EPA, 6 Disember, 2023.

RIBUAN doktor, jururawat dan pekerja penjagaan kesihatan melancarkan mogok 24 jam di seluruh Itali pada Selasa, menuntut perkitaran kerja yang lebih baik dan penambahbaikan kepada sistem kesihatan awam.

Mereka juga membantah cadangan pemotongan pencen dalam rang undang-undang belanjawan 2024, yang diluluskan oleh kerajaan pada Oktober dan kini menunggu kelulusan Parlimen.

Kira-kira 85% petugas Perkhidmatan Kesihatan Nasional (SSN) dan kemudahan perubatan swasta tidak bekerja pada Selasa, menurut kesatuan sekerja sektor itu.

Ini menyebabkan kira-kira 1.5 juta pemeriksaan kesihatan dan pembedahan yang dirancang pada hari berkenaan terpaksa ditangguhkan walaupun perkhidmatan penjagaan kesihatan utama tetap disediakan, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.

Satu perhimpunan besar berlangsung di Rom untuk menyokong mogok itu.

Selain tuntutan ekonomi khusus, profesional penjagaan kesihatan Itali juga menggesa kerajaan membuat pelaburan yang lebih besar dalam SSN untuk bersiap menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Lewat Isnin, Menteri Hal Ehwal Parlimen Itali Luca Ciriani berkata Kabinet merancang meminda peruntukan rang undang-undang belanjawan mengenai pencen perubatan.

Selepas mengadakan pertemuan dengan kesatuan penjagaan kesihatan pada akhir November, Menteri Kesihatan Orazio Schillaci juga memberitahu media tempatan yang beliau terbuka untuk berdialog dan bersedia untuk berkompromi dengan tuntutan pekerja penjagaan kesihatan.​ – Bernama, 6 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen