Ribut Ciaran ragut 5 nyawa di Itali


Petugas kecemasan ditempatkan di seluruh wilayah Tuscany bagi memudahkan usaha menyelamat.– Gambar EPA, 4 November, 2023.

BANJIR teruk di Wilayah Tuscany meragut sekurang-kurangnya lima nyawa apabila Ribut Ciaran melanda utara dan tengah Itali, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Jumaat.

Dua warga emas berumur 84 dan 85, dari sebuah bandar berhampiran Prato, bandar kedua terbesar di Tuscany, meninggal dunia manakala mangsa ketiga adalah dari pusat peranginan tepi pantai Rosignano.

Dua lagi kematian dilaporkan di bandar lain.

Tuscany mengisytiharkan keadaan darurat bagi memudahkan usaha menyelamat, dengan Gabenor Wilayah Eugenio Giani mengumumkan di X bahawa situasi banjir “sangat serius.”

Gabenor wilayah itu berkata beliau sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri Giorgia Meloni dan Presiden Sergio Mattarella.

Petugas kecemasan juga ditempatkan di seluruh wilayah, menurut Jabatan Perlindungan Sivik dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya 400 anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat semalaman di beberapa bandar, menurut jabatan itu di media sosial.

Kementerian Pertahanan turut memberi bantuan kepada usaha mencari dan menyelamat.

Awal Jumaat, banjir menjejaskan sementara perkhidmatan kereta api antara bandar Prato dan Pistoia.

Amaran merah bagi risiko hidro-geologi tinggi—tahap amaran maksimum—dikeluarkan di Veneto dan Friuli Venezia Giulia, kedua-dua wilayah di timur laut Itali, manakala amaran cuaca peringkat oren dikeluarkan untuk beberapa wilayah utara dan tengah.

Perkhidmatan kecemasan memantau dengan teliti keadaan di seluruh negara, ketika sungai melimpahi tebing akibat hujan lebat yang mungkin meningkatkan risiko banjir seterusnya. – Bernama, 4 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen