Perdana menteri Itali harap lakukan terbaik dalam isu migrasi


Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata masalah kemasukan migran itu sangat konpleks dan sukar ditangani. – Gambar AFP, 25 September, 2023.

PERDANA Menteri Itali Giorgia Meloni mengakui beliau berharap untuk melakukan “lebih baik” dalam mengawal migrasi tidak teratur, yang semakin melonjak sejak parti sayap kanannya memenangi pilihan raya bersejarah setahun lalu.

“Jelas sekali kami mengharapkan yang lebih baik di imigresen, di mana kami bekerja keras,” katanya dalam temu bual menandakan kemenangan, yang disiarkan lewat Sabtu di saluran TG1.

“Keputusannya bukanlah seperti yang kita harapkan. Ia sememangnya masalah yang sangat kompleks, tetapi saya pasti kita akan menyelesaikannya.”

Parti Brothers of Italy Meloni telah dipilih sebahagian besarnya atas janji untuk mengurangkan migrasi besar-besaran ke Itali.

Namun bilangan orang yang tiba dengan bot dari Afrika Utara sebaliknya meningkat, dengan lebih 130,000 direkodkan oleh kementerian dalam negeri setakat tahun ini—meningkat daripada 70,000 dalam tempoh yang sama 2022.

Selepas 8,500 orang tiba di pulau kecil Lampedusa dalam masa tiga hari sahaja awal bulan ini, Meloni menuntut Kesatuan Eropah mengambil lebih banyak tindakan untuk membantu melegakan tekanan.

Brussels bersetuju untuk mempergiatkan usaha sedia ada, dan minggu ini berkata ia akan mula menyalurkan wang kepada Tunisia—yang menjadi lokasi bot pendatang—di bawah pakatan yang bertujuan untuk membendung penghijrahan yang tidak teratur dari negara itu.

Tetapi rakan gabungan utama Meloni, Matteo Salvini dari parti Liga anti-imigresen, telah menolak usaha EU untuk menguruskan lonjakan ketibaan migran yang disifatkannya sebagai “tindakan perang”.

Hujung minggu ini juga, Liga itu mengecam Jerman kerana membiayai NGO yang menjalankan operasi menyelamat di laut di Mediterranean, dengan mengatakan ia mewakili “campur tangan yang sangat serius” dalam hal ehwal Itali.

Menteri Pertahanan Guido Crosetto, yang juga ahli parti Meloni, pada Ahad memberitahu akhbar La Stampa tindakan itu meletakkan Itali “dalam kesukaran”.

“Jika Jerman mengambil berat tentang nasib orang yang mengalami kesukaran dan benar-benar mahu membantu kami menyelamatkan nyawa, mereka boleh membantu… (dengan rancangan) untuk memerangi secara serius penjenayah yang memperdagangkan orang,” tambahnya dalam satu kenyataan pada petang Ahad. – AFP, 25 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen