Jangan burukkan citra poligami


ISU poligami sentiasa menjadi bualan hangat dalam masyarakat. Bagai dirasuk, ramai yang bertindak umpama penyelamat dan pelindung kepada perempuan yang dimadukan. Berbagai komentar buruk dan makian dilemparkan terhadap suami dan isteri baharu kerana merampas kebahagiaan isteri tua. 

Walau bagaimanapun, umat Islam perlu berhati-hati dalam mengaitkan amalan poligami dengan istilah penyondol. Istilah poligami mengalami demonologi iaitu pencitraan sesuatu yang dihalalkan Syarak dengan sesuatu yang buruk dan kejam. Menisbahkan amalan poligami dengan istilah penyondol sangat mengjengkelkan.

Ini kerana menyondol adalah sifat khusus bagi haiwan seperti khinzir. Sedangkan poligami adalah mereka yang berkahwin secara sah menurut syariat. Kita boleh tidak setuju dengan amalan poligami atas dasar pandangan peribadi tetapi tidak mempunyai kapasiti untuk mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah SWT. Ia adalah amalan yang diharuskan oleh Syariat dan hukumnya kekal hingga hari kiamat. 

Asasnya, Syariat menghalalkan poligami untuk memberi ruang kepada mereka yang memerlukan, khususnya kes isteri uzur, mendapatkan zuriat atau membela nasib anak yatim. Dalam surah al-Nisa, ayat 3, Allah SWT telah berfirman: Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Berdasarkan ayat di atas, poligami adalah ruang keharusan yang berdasarkan pensyaratan yang ketat, iaitu adil. Jika ada pihak yang menyalahgunakan atau tidak adil dalam berpoligami, ia adalah dosa dia dengan Allah SWT. Sedangkan Allah SWT telah tegaskan hanya seorang isteri atau monogami yang terbaik jika para suami tidak mampu berlaku adil.

Ia ditegaskan juga oleh Rasulullah SAW bahawa suami yang tidak adil akan berjalan secara senget di hari akhirat kelak. Para ulama juga menggariskan kriteria yang ketat dalam amalan ini. Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang memiliki dua orang isteri lalu ia cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka ia datang pada hari kiamat dalam keadaan badannya miring. (HR Abu Dawud)

Tegasnya, ajaran Islam ideal yang dianjurkan jelas menunjukkan poligami adalah pembelaan kepada perempuan dan anak-anak yatim dan dengan tegas bahawa keadilan adalah persyaratan utama, iaitu meletakkan sesuatu sesuai dengan kedudukannya dari segi nafkah dan giliran hari.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat Islam, keistimewaan ini telah disalahgunakan dengan tujuan hawa nafsu semata-mata. Ini disebabkan banyak kes poligami telah meninggalkan trauma dan parut luka mendalam kepada pasangan, anak-anak dan orang sekitar. 

Situasi ini berlaku disebabkan ramai suami dan bapa yang mengamalkan poligami telah mengabaikan salah satu pihak yang dimadukan. Sang bapa tidak peduli dengan isteri tua dan anak-anak, mendera pasangan secara emosi dan fizikal, tidak menyediakan nafkah rumahtangga dan tidak memberikan giliran yang adil antara pasangan. Madu tidak lagi menjadi ubat penawar tetapi menjadi racun dalam stigma masyarakat. 

Apa yang jelas, tindakan lelaki yang berpoligami tersebut telah jauh dengan apa yang telah ditetapkan oleh syariat. Keadaan suami yang tidak berkemampuan, mendera dan mengabaikan nafkah dan tidak berlaku adil dengan jelas bertentangan dengan panduan Syariat yang meletakkan adil sebagai syarat utama.

Walau bagaimanapun, tidak semua kes poligami menunjukkan penderitaan dan penderaan terhadap pasangan dan anak-anak. Ini disebabkan masih ada suami yang berlaku adil dalam rumahtangga tetapi mereka tidak mendapat publisiti media sewajarnya. 

Selain itu, bagi mengelak berlaku kes kecurangan dalam rumahtangga, maka berhati-hatilah dalam penggunaan media sosial. Umpamanya, kisah bahagia, romantis dan kebaikan pasangan jangan dikongsi dalam media sosial kerana akan ada hati yang iri dan ingin berada di posisi yang sama untuk mengecapi bahagia.

Mereka ingin berkongsi kasih sayang disebabkan terinspirasi dengan perkongsian kisah suami mithali dan idaman. Perempuan ini akan menjadikan suami tersebut sebagai sasarannya. Bagaikan gayung bersambut, akhirnya misi berjaya kerana pihak suami termakan umpan.

Dalam masa yang sama, kisah derita rumahtangga jangan diwarwarkan di media sosial kerana ia akan dijadikan modal oleh pencari kandungan. Mereka menimbulkan provokasi untuk menambah aliran trafik. Mereka juga tidak menambah ubat kepada luka yang dialami, sebaliknya menabur garam untuk menambah penderitaan dan akhirnya akan menyebabkan keruntuhan rumahtangga. Selepas berjaya meruntuhkan rumahtangga dilakukan, mereka akan berlepas tangan.

Tegasnya, jangan mengaitkan poligami dengan penyondol kerana poligami disyariatkan dengan tujuan yang baik bukan memenuhi tuntutan hawa nafsu semata-mata. Begitu juga, jangan buka ruang kepada pasangan untuk berlaku curang.

Kebahagiaan yang dikongsi dan dipamerkan di media sosial boleh menjadi idaman banyak mata yang memandang. Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya lagi. Di samping itu, para suami yang berpoligami perlu berlaku adil antara isteri-isteri agar tidak tempang di hari akhirat kelak. – 4 Disember, 2023.


* Prof. Madya Dr. Mohd Anuar Ramli merupakan profesor madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen