Murid, ibu bapa reka jalan lebih selamat ke sekolah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dalam aktiviti itu, ibu bapa dan penjaga turut menggunakan periskop untuk melihat dunia dari ketinggian 95 cm yang merupakan ketinggian purata kanak-kanak berusia tiga tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, October 8, 2023.

SATU program transformasi jalan dimulakan di Kuala Lumpur melibatkan dua buah sekolah bagi menyediakan laluan lebih selamat untuk kanak-kanak.

Fasa pertama projek itu melibatkan laluan murid SK Danau Kota 2 dan SMK Danau Kota yang direka semula dengan penyertaan murid dan pelajar terbabit.

Projek dikendalikan Global Designing Cities Initiative (GDCI) itu turut mendapat pandangan ibu bapa dan guru sekolah, kata pengurus programnya Jashwanth Tej K.

Jelasnya, kanak-kanak dan penjaga tersebut menyertai beberapa aktiviti yang bertujuan untuk membolehkan mereka membayangkan semula jalan mereka dan menyatakan pilihan mereka.

Katanya, kira-kira 60 pelajar melukis dan mereka bentuk jalan mereka di atas kertas, menggunakan kepingan teka-teki untuk menggambarkan pokok dan taman permainan.

“Ibu bapa juga mengambil bahagian dalam aktiviti yang direka untuk membantu mereka melihat bandar dari perspektif kanak-kanak,” katanya.

Pengurus program Global Designing Cities Initiative (GDCI) Jashwanth Tej K berkata program itu turut mendapat pandangan ibu bapa.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, October 8, 2023.

Dalam aktiviti itu, ibu bapa dan penjaga tersebut antara lain menggunakan periskop untuk melihat dunia dari ketinggian 95 cm yang merupakan ketinggian purata kanak-kanak berusia tiga tahun.

“Mereka dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak ketika melintas jalan, pendedahan mereka kepada ekzos kereta, laluan pejalan kaki yang rosak dan kekurangan infrastruktur yang selamat di sekitar sekolah.

“Dengan menyedari keperluan dan perspektif kanak-kanak kecil, GDCI menggabungkan keperluan mereka serta mereka bentuk dan mencipta jalan yang selamat untuk mereka seperti yang dilancarkan dan mula digunakan hari ini,” katanya.

Jashwanth berkata, laluan itu perlu lebih selamat dan menyeronokkan kerana kanak-kanak mempertaruhkan nyawa setiap hari dalam perjalanan ke sekolah dan pulang ke rumah.

“Dengan meningkatkan pengalaman berjalan mereka, kita bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka, tetapi juga boleh membina peluang untuk membangunkan kemahiran kognitif dan motor mereka,” tambahnya.

GDCI merupakan rakan kongsi di bawah program dermawan Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety (BIGRS).

Pengarah Bloomberg Philanthropies Kelly Larson berkata usaha itu memerlukan pendekatan yang holistik diperlukan merangkumi penguatkuasaan undang-undang dan komunikasi strategik.

Seterusnya, jalan raya perlu direka dengan mengambil kira semua pengguna dan data yang kukuh untuk memahami tindakan yang diperlukan bagi mencegah nahas jalan raya.

Pengarah Bloomberg Philanthropies Kelly Larson berkata usaha itu memerlukan pendekatan yang holistik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, October 8, 2023.

Jelasnya, Malaysia antara 15 negara dipilih bagi program ini kerana rekod buruk nahas jalan raya dalam tempoh 30 tahun lepas ditambah dengan kadar kematian penunggang motosikal yang tinggi.

Tambahnya, program dengan kos AS$240 juta (RM1.06 bilion) dilaksanakan Bloomberg di 30 bandar, termasuk di sini dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami cukup berterima kasih kepada DBKL kerana memberi kerjasama penuh untuk menjalankan program perintis membabitkan dua buah sekolah di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, proses mereka bentuk semula jalan raya yang selamat bertujuan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada lebih ramai orang terutamanya kanak-kanak.

“Jika jalan itu sesuai dan selamat untuk kanak-kanak, jadi jalan itu sesuai untuk semua orang,” katanya. – 8 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen