Hannah Yeoh minta DBKL perkasa unit cerun 


Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut meminta DBKL memastikan laporan dan aduan mengenai kejadian hakisan tanah diteliti secara serius. – Gambar Facebook, 26 April 2023.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dicadang supaya memperkasakan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran bagi memastikan unit cerun dilengkapi dengan tenaga pakar dalam menangani isu hakisan dan tanah runtuh dengan lebih berkesan.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut meminta DBKL memastikan laporan dan aduan mengenai kejadian hakisan tanah diteliti secara serius.

Beliau berkata ini penting berdasarkan trend tahun lepas di kawasan Parlimen Segambut yang mengalami banyak insiden tanah runtuh.

“Saya sudah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Kamarulzaman Mat Salleh) untuk memperkasa Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL yang jaga kes tanah runtuh kerana kejadian atau kes banyak dilaporkan … sumber tenaga manusia mungkin tidak cukup untuk membantu mengendalikan kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri nelia dan sukan itu berkata banyak kawasan berbukit di sekitar Parlimen Segambut dan Lembah Pantai dipercayai menjadi punca kes kejadian runtuhan tanah.

“Saya difahamkan terdapat lebih 100 kes kejadian tanah runtuh dilaporkan di sekitar Parlimen Segambut. 

“Saya juga difahamkan kita memang memerlukan lebih banyak pakar cerun untuk membantu unit kejuruteraan cerun di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata kejadian insiden tanah runtuh ini bukan berskala besar dan DBKL telah mengambil tindakan.

Selain itu, siasatan forensik sedang dijalankan dan kerjasama agensi berkaitan insiden berkenaan sangat baik, katanya.

Semalam, Bernama melaporkan MACA telah mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan 45 individu susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utamanya pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), individu terbabit terdiri daripada 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters termasuk keluarga pegawai telah selamat dipindahkan dari bangunan MACA ke kawasan selamat. – Bernama, 26 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen