Operasi pembenihan awan di Cheras jika IPU terus melebihi 150


JAS akan melakukan pembenihan awan jika IPU di Cheras terus berada pada paras tidak sihat. – Gambar AFJets, 3 Oktober 2023.

JABATAN Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pembenihan awan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Cheras, Kuala Lumpur, kekal pada paras tidak sihat melebihi 150 menjelang 5 petang, lapor New Straits Times.

Ketua pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 untuk tempoh lebih 24 jam.

Bagaimanapun, beliau memberitahu pembenihan hanya boleh dilakukan jika awan ada dan cuaca sesuai di kawasan itu.

Cheras kekal sebagai satu daripada kawasan dengan bacaan IPU paling tidak sihat, dengan kemuncaknya mencecah 165, tahap tertinggi sejak beberapa hari lalu.

Semakan di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (Apims) menunjukkan terdapat tiga kawasan yang terus mencatatkan bacaan IPU tidak sihat: Nilai (156), Cheras (155) dan Seremban (115) setakat 5 petang.

Bacaan 0-50 dianggap baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan 300 ke atas (berbahaya).

Bacaan IPU meningkat dengan ketara hari ini berbanding semalam, dengan 16 lokaliti dari sembilan negeri mencatatkan tahap tidak sihat.

Sehingga 9 pagi hari ini, 60 stesen di seluruh negara merekodkan tahap IPU sederhana manakala tiga mempunyai bacaan yang baik. – 3 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen