Peniaga sedia tidak guna DuitNow QR kalau dikenakan caj


Kalidevi Mogan Kumarappa Diyana Ibrahim

Peniaga berkata peraturan baharu penggunaan kod DuitNow QR akan memberi kesan kepada peniaga, malah kesannya juga akan ditanggung oleh pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2023.

SEBAHAGIAN peniaga kecil sedia untuk kembali kepada cara lama berurusan dengan tunai atau menggunakan kaedah lain sekiranya pihak bank mengenakan caj tambahan bagi urusan tanpa tunai DuitNow QR, kata mereka mengulas peraturan yang akan berkuat kuasa 1 November ini.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, peraturan baharu penggunaan kod DuitNow QR akan memberi kesan kepada peniaga, malah kesannya juga akan ditanggung oleh pengguna.

Jelas mereka, caj itu tidak patut terutama ketika ramai peniaga kecil sedang pulih selepas pandemik dan masih bergelut akibat kenaikan harga barang.

Pengusaha kedai makan di Brickfields Mohd Azrin Anver Ali berkata majoriti peniaga membantah pelaksanaan caj tersebut.

Katanya, tidak mustahil peniaga akan terpaksa mengalihkan kos itu kepada pengguna dengan menaikkan harga makanan kerana pelaksanaan caj tersebut.

“Ia akan membebankan peniaga secara tidak langsung takut kos itu terpaksa diserap kepada pengguna pula nanti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khamis lalu, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) selaku pengendali kod DuitNow QR mengesahkan bahawa pengenaan caj berkenaan adalah kadar diskaun pedagang (MDR) yang sepatutnya selama ini dikenakan tetapi telah diketepikan sejak 2019 sehingga 1 November ini. 

“Mulai 1 November 2023, penepian MDR untuk pembayaran DuitNow QR ini akan ditarik balik,” kata PayNet dalam satu kenyataan.

Setakat ini, lima bank mengumumkan tidak akan mengenakan caj berkenaan.

Maybank, RHB, Public Bank dan Bank Muamalat menangguhkan caj itu buat masa ini sementara CIMB menangguhkannya sehingga hujung tahun ini.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata caj penggunaan kod DuitNow QR tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.

“Sekarang apa yang penting adalah kumpulan berpendapatan rendah tidak akan terbeban,” katanya.

Beliau juga menjelaskan keputusan menarik balik bayaran yang dikenakan itu bergantung kepada keputusan Bank Negara Malaysia.

Sementara itu, pemilik sebuah kafe di Petaling Jaya, Allyn Chia, 49, turut senada membantah caj tersebut yang dianggapnya membebankan peniaga.

Allyn percaya perkara itu terjadi kerana dasar monopoli penyediaan perkhidmatan apabila kebanyakan urus niaga perniagaan beralih kepada kewangan digital.

Dakwanya lagi polisi itu hanya membuka peluang kepada penyedia perkhidmatan untuk mengaut untung yang berlebihan.

“Aplikasi DuitNow QR ini memang memudahkan urusan dan ketika kami sedang berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah.

“Sepatutnya kerajaan dan pengendali tidak menambah beban kami dengan caj atau surcaj atau komisyen baru ini.

“Ini semua berlaku, kerana penyedia perkhidmatan itu mendominasi pasaran dan peniaga tidak akan ada pilihan lain selain akur dengan caj baru itu,” katanya.

Seorang lagi pemilik restoran makanan di Cheras, Jawahar Ali, 59, berkata caj transaksi itu akan membebankan lagi kos operasi yang secara tidak langsung akan membawa kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman.

“Semestinya saya tidak bersetuju dengan caj transaksi yang bakal dikenakan. Dalam keadaan ekonomi sekarang yang mana kos operasi makin meningkat

“Tindakan ini adalah sesuatu yang bakal menyebabkan harga barangan meningkat lagi,” katanya.

Pemilik kedai burger dan makanan segera di Kajang, M Annadurai, 49, menyifatkan caj transaksi itu bagai menghukum peniaga dan pengguna yang sudah beralih kepada aplikasi kewangan digital.

Beliau mengakui tidak akan teragak- agak beralih kepada transaksi tunai sepenuhnya jika caj tersebut tetap dilaksanakan.

“Jika caj ini diteruskan, baik saya kembali ke transaksi tunai. Margin untung saya sudah kecil, ditambah dengan kenaikan kos barang mentah, sekarang caj transaksi pula.

“Tiada pelan untuk kurangkan beban kami, hanya tambah beban kami,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Ampang Ayob Abd Majid menggesa kerajaan campur tangan dalam isu tersebut.

Beliau berkata langkah mengenakan caj itu tidak kena pada waktu sekarang yang menyaksikan peniaga berdepan dengan pelbagai cabaran kesan  daripada masalah ekonomi.

Tambahan pula katanya majoriti peniaga kini banyak beralih menggunakan transaksi digital kerana ia lebih memudahkan peniaga dan pengguna.

Malah peniaga juga tidak pernah dimaklumkan mengenai kewujudan caj tersebut oleh syarikat pengendali.

“Bagi saya memang tidak kena untuk dikenakan caj kepada peniaga dan dilaksanakan pada waktu ini.

“Dengan peniaga yang terpaksa menanggung  kenaikan harga barang, beras gula pada masa sama juga nak kenakan caj QR Pay kepada peniaga.

“Situasi ini sangat membebankan kepada peniaga sebab sekarang pun ramai sudah mula nak gulung tikar perniagaan mereka,” katanya. – 30 September, 2023.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen